Bekas anggota TUDM dipenjara 10 tahun sebabkan kematian pembantu rumah

Bernama
April 11, 2017 22:25 MYT
Menurut fakta kes, bedah siasat menunjukkan adanya kecederaan akibat penderaan fizikal pada dahi, sekeliling mata serta tangan mangsa.
Seorang bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin kerana membunuh tanpa niat.
Mohd Fezlee Md Tap menyebabkan kematian pembantu rumahnya, Rosniar Tanjung, 44, dari Indonesia di antara Ogos 2015 dan April tahun lepas di kuarters kakitangan Pangkalan TUDM Labuan, Membidai dekat sini.
Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat memerintahkan Mohd Fezlee, 32, menjalani hukuman itu mulai tarikh dia ditangkap pada 14 April tahun lepas.
Menurut fakta kes, bedah siasat menunjukkan adanya kecederaan akibat penderaan fizikal pada dahi, sekeliling mata serta tangan mangsa.
Mahkamah diberitahu bahawa ahli patologi forensik menemukan kecederaan pada tubuh mangsa, yang mungkin berpunca daripada perbuatan mendera dan menyeksa secara jangka panjang.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Khairuddin Idris memberitahu Bernama bahawa Mohd Fezlee didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat, yang memperuntuk hukuman penjara hingga 30 tahun jika sabit kesalahan.
Hukuman 10 tahun penjara itu dikenakan setelah mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh, katanya.
Pada mulanya, Mohd Fezlee dikenakan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - BERNAMA
#membunuh tanpa niat #Pangkalan TUDM Labuan #TUDM
;