Bekas anggota keselamatan mengaku salah tipu dokumen kerakyatan, jual beli palsu
Mohamad Zalani Atan
Januari 21, 2022 14:00 MYT
Januari 21, 2022 14:00 MYT
KUANTAN: Seorang bekas anggota keselamatan mengaku bersalah Mahkamah Majistret, Kuantan pada Jumaat atas empat pertuduhan menipu dua individu dalam urusan mendapatkan dokumen kerakyatan pada 2020 dan jual beli alatan elektronik pada 2021.
Tertuduh, G Ananda Raj, 36, membuat pengakuan itu sebaik kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Farahah Mohd Suah.
Mengikut kertas pertuduhan, Ananda Raj mengaku telah menipu seorang wanita warganegara Indonesia, Nuryati, untuk memperolehi dokumen kerakyatan negara Malaysia untuk anaknya dan mendorong wanita berkenaan menyerahkan wang tunai RM2,000 kepadanya.
Perbuatan itu dilakukannya di sebuah premis di Semambu Kuantan pada jam 12 tengah hari 26 September 2020.
Dia yang kini bekerja sebagai pengurus sebuah kafeteria di Perak turut mengaku menipu Muhammad Yusri Murad, 28, untuk memasukkan RM1,000 ke dalam akaun miliknya dalam urusan jual beli sebuah telefon pintar yang tidak wujud berdekatan stesen Petronas Tanah Putih Kuantan jam 12.24 tengah hari, pada 4 Mei 2021.
Tertuduh juga mengaku bersalah atas dua lagi pertuduhan menipu individu sama di Jalan Alor Kangkung, Kuantan pada 5 dan 14 Mei tahun lalu, dalam urusan mendapatkan hadiah percuma sebuah telefon dan komputer riba yang tidak wujud serta meminta bayaran insurans bagi penghantaran barangan yang tidak wujud itu.
Muhammad Yusri memasukkan wang RM1,400 ke dalam akaun bank milik tertuduh bagi tujuan tersebut.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Kes disebut semula pada 27 Januari ini untuk kemukakan fakta kes dan hukuman terhadap pengakuan salah tertuduh.
Tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nur Hafidza Baharudin dan Rahiza Zulkifli.