Bekas anggota Ekamatra mengaku bersalah sebabkan kematian warga emas
Adie Sufian Zulkefli
April 23, 2018 17:16 MYT
April 23, 2018 17:16 MYT
Bekas gitaris kumpulan rock Ekamatra yang popular era 1990-an berdepan hukuman penjara maksimum 30 tahun selepas mengaku bersalah hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang wanita warga emas ketika memecah masuk rumah mangsa pada Februari lalu.
Md Nurul Azman Salilholdin@Salilhaldin, 44 tahun yang berasal dari Johor, mengaku bersalah sebaik kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Alor Setar, Najwa Che Mat.
Dia didakwa menyebabkan kematian Kau Fu Eng, 71 tahun antara jam 2 petang hingga 6 petang 25 Februari lalu di sebuah rumah di No 217, Taman Malaysia, Alor Setar.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rehab Abdul Shukur, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin dan mahkamah menetapkan 23 Mei depan untuk penetapan hukuman.
#Alor Setar
#Ekamatra
#gitaris
#hukuman penjara
#mahkamah
#Malaysia
#mangsa
#membunuh
#penjara
#wanita
#warga emas