Bekas akauntan didakwa pecah amanah wang syarikat lebih RM200,000
Bernama
Disember 16, 2024 12:52 MYT
Disember 16, 2024 12:52 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang bekas akauntan syarikat pengeluar pakaian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah wang hasil jualan syarikat berjumlah RM206,222.24 tahun lepas.
Ringkasan AI
- Siti Nur Aisyah Ismail, bekas akauntan, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM206,222.24.
- Timbalan Pendakwa Raya mencadangkan jaminan RM30,000 dengan syarat tambahan, tetapi jaminan ditetapkan pada RM15,000 oleh hakim.
- Kes akan disebut semula pada 16 Januari tahun depan.
Siti Nur Aisyah Ismail, 33, didakwa melakukan kegiatan itu dengan memindahkan wang terbabit ke dalam akaun bank miliknya untuk kegunaan peribadi di sebuah premis di Jalan Chempenai, Bukit Damansara di sini antara 19 Jan 2023 hingga 12 Mac 2024.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Atiqa Nazihah Azmi mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan menyerahkan pasport ke mahkamah sehingga kes selesai.
Peguam Mariana Osman yang mewakili Siti Nur Aisyah memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap dan tidak bekerja.
Hakim Mohd Kafli Che Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 16 Jan tahun depan untuk sebutan kes.
-- BERNAMA