Bekas Ahli Parlimen Sekijang meninggal dunia

Astro Awani
November 2, 2023 00:32 MYT
Natrah Ismail meninggal dunia akibat kanser di Hospital Segamat pada Khamis. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail meninggal dunia akibat kanser di Hospital Segamat pada Khamis.
Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berusia 73 tahun menghembuskan nafas terakhir pada jam 9 malam.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengucapkan takziah menerusi platform X kepada Allahyarham yang disifatkan sebagai seorang yang baik, tertib dan sentiasa gigih memperjuangkan nasib rakyat.
Fahmi turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat.
Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Johor, Mohamad Taufiq Ismail menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar khususnya bagi parti berkenaan.
AMK Johor menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga Allahyarham atau lebih dikenali dengan gelaran ‘Kak Natrah’.
Allahyarham telah dipilih menjadi Ahli Parlimen Sekijang pada Pilihan Raya Umum tahun 2018.
#Parti Keadilan Rakyat #ucapan takziah #Natrah Ismail #Ahli Parlimen Sekijang
;