Bekas Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Noor Syazwani Md Amin hari ini memfailkan saman terhadap MBPP dan tiga yang lain di Mahkamah Tinggi di sini bagi menuntut ganti rugi berhubung pemecatannya.

Noor Syazwani memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini menerusi Tetuan Aswandi Hashim.

Peguamnya Datuk Aswandi Mohamed Hashim berkata dalam writ saman itu, Noor Syazwani mengemukakan enam tuntutan supaya kesemua defendan membayar baki elaun bulanan yang berhak diterima plaintif berjumlah RM32,000.

Katanya anak guamnya juga menuntut ganti rugi kesusahan berjumlah RM50,000 akibat kepayahan yang dialaminya selepas lantikannya sebagai ahli majlis dibatalkan tanpa sebab pada 19 April sekali gus mengakibatkan nama baik anak guamnya terjejas.

Noor Syazwani dilantik sebagai ahli majlis pada 4 Jan atas kuota wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kontrak sepatutnya tamat pada 31 Dis depan.

Sementara itu, Aswandi berkata tujuan saman itu dibuat adalah untuk memberi keadilan kepada anak guamnya dan tidak mahu perkara sama berulang kepada Ahli Majlis yang lain.

"Tujuan kita fail (saman) ini supaya perkara sama tidak berulang pada masa depan dan supaya ada satu keadaan di mana undang-undang dapat melindungi ahli-ahli majlis yang dilantik selepas ini," katanya.

-- BERNAMA