Bekas ahli MAIDAM, isteri mengaku terima rasuah, kemuka tuntutan palsu agihan zakat

Sinar Harian
Ogos 28, 2024 18:21 MYT
Mohamad Zahari (dua, kanan) bersama isteri (kanan) keluar dari pekarangan mahkamah, pada Rabu.
KUALA TERENGGANU: Seorang bekas ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bersama isterinya masing-masing didenda RM10,000 dan RM16,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menerima rasuah wang tunai dan mengemukakan tuntutan palsu berhubung agihan zakat.
Hakim Mohd Azhar Othman menjatuhkan hukuman itu terhadap Datuk Mohamad Zahari Harun, 64, dan isterinya, Lydia Irmawati Mahmud, 41, selepas masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan secara berasingan terhadap mereka.
Mahkamah turut menetapkan hukuman dua bulan penjara sekiranya mereka gagal membayar denda tersebut.
Mohamad Zahari berdepan satu pertuduhan pilihan manakala Lydia Irmawati yang merupakan pemilik syarikat kutipan zakat, Syarikat Amcare Agency menghadapi empat pertuduhan pilihan.
Mengikut satu pertuduhan pilihan, Mohamad Zahari telah menerima wang tunai berjumlah RM5,500 daripada isterinya di MAIDAM, Kuala Terengganu pada 15 Julai 2020.
Justeru, Mohamad Zahari telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang mana sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, berdasarkan tiga pertuduhan pilihan dikenakan kepada Lydia Irmawati, tertuduh telah menipu penolong akauntan Bahagian Pengurusan Zakat MAIDAM dengan memperdayakan beliau untuk mempercayai bahawa permohonan bayaran balik 2/8 bahagian (fakir dan miskin) berjumlah RM3,063.46.
Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Bahagian Pengurusan Zakat MAIDAM, Kuala Terengganu antara Disember 2020 sehingga September 2021.
Justeru, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, mengikut pertuduhan pilihan lain, Lydia Irmawati telah menipu penolong akauntan Bahagian Pengurusan Zakat MAIDAM dengan memperdayakan beliau untuk mempercayai bahawa tuntutan bayaran komisen bagi ejen zakat Syarikat Amcare Agency berjumlah RM3,167.56 adalah daripada wang zakat berjumlah RM50,681 yang dikeluarkan oleh Felda Kerteh 2 kepada MAIDAM.
Sedangkan wang RM50,681 tersebut adalah wang sedekah yang tidak layak untuk tertuduh membuat tuntutan komisen.
Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Bahagian Pengurusan Zakat MAIDAM, Kuala Terengganu pada 20 Disember 2020.
Justeru, Lydia Irmawati telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork daripada Azharudin & Associates.
Sementara itu, Azrul merayu hukuman diringankan dengan alasan anak guamnya itu mempunyai tanggungan keluarga yang memerlukan rawatan selain menyesali atas kesalahan pertama dilakukan.
Bagaimanapun, Farah Yasmin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai bentuk pengajaran selain menyampaikan mesej bukan sahaja memberi keinsafan kepada tertuduh malah memberi peringatan kepada masyarakat di luar sana.
Dalam penghakiman, Mohd Azhar berkata, mahkamah berharap hukuman diberikan memberi pengajaran dan kebaikan kepada tertuduh dan masyarakat.
"Kesalahan-kesalahan sebegini jika tidak dibendung boleh membawa musibah yang lebih besar kepada masyarakat.
"Mahkamah berdoa kepada Allah semoga hukuman ini boleh menjadi pengajaran kepada kamu dan yang lain,” jelasnya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM10,000 terhadap Mohamad Zahari manakala isterinya didenda RM4,000 bagi setiap daripada empat tuduhan dan dua bulan penjara jika gagal bayar.
Mahkamah turut mengarahkan wang dalam akaun Amcare Agency berjumlah RM6,919.66 dilucut hak kepada kerajaan Malaysia selain memulangkan pasport dan wang jaminan kepada tertuduh. - Sinar Harian
#MAIDAM #kes rasuah #tuntutan palsu #agihan zakat