Bekas Ahli Lembaga Pengarah KLSCAH didenda RM6,000 aib anak pemimpin veteran MCA

Sinar Harian
Julai 3, 2023 14:17 MYT
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Yeo Kwi Seng didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, atas satu pertuduhan mengaibkan kehormatan anak seorang pemimpin veteran MCA, dengan menghantar video lucah, dua tahun lalu.
Majistret, Noorelynna Hanim Abd Halim menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh, Kwi Seng, 69, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah, ketika prosiding dijadualkan untuk sebutan kes pada minggu lalu.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Pada 31 Mei 2021, lelaki itu mengaku tidak bersalah atas kesalahan mengaibkan kehormatan seorang bekas peguam wanita, Wong Pei Huan, 53, dengan menghantar video lucah melalui aplikasi WhatsApp, di sebuah suite di Plaza Imbi, di sini, antara 23 Mei dan 16 Jun 2021.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah sebelum ini menetapkan Isnin sebagai prosiding hari pertama perbicaraan kes dengan mangsa, Pei Huan memberi keterangan.
Bagaimanapun, dia dimaklumkan kes berkenaan tidak berlangsung sebagaimana dijadualkan kerana tertuduh telah menukar pengakuan kepada bersalah pada minggu lalu.
Kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin sementara tertuduh diwakili peguam, Kitson Foong. -- Sinar Harian
#Lembaga Pengarah KLSCAH #Yeo Kwi Seng #mengaku bersalah #anak pemimpin MCA
;