Bekas ADUN Selinsing meninggal dunia

Abd Razak Mohd Ali
Jun 11, 2021 16:29 MYT
Husin, 68, yang pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Bagan Serai dilaporkan mengalami masalah sesak nafas sebelum dibawa ke hospital itu untuk rawatan lanjut. - Foto Pas
IPOH: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selinsing, Husin Din meninggal dunia di Hospital Taiping sekitar jam 10.45 pagi ini.
Husin, 68, yang pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Bagan Serai dilaporkan mengalami masalah sesak nafas sebelum dibawa ke hospital itu untuk rawatan lanjut.
Sebelum kejadian, Allahyarham yang pernah berkhidmat sebagai anggota tentera selama 22 tahun, sempat menunaikan solat Subuh berjemaah di surau berhampiran rumahnya di Kampung Matang Pasir Simpang Empat Semanggol.
Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar kepada parti dan negeri.
Katanya, Allahyarham menjadi wakil rakyat Pas di kawasan itu selama dua penggal dari 2008 hingga 2018, sangat dikenali dengan peribadi dan akhlaknya yang santun dan dekat di hati rakyat.
"Pas Perak melahirkan rasa dukacita atas kehilangan insan yang sangat banyak berjasa ini.
"Sepanjang khidmat sebagai wakil rakyat, Allahyarham begitu gigih menjalankan kerja-kerja jemaah dan sepanjang hayatnya Allahyarham juga merupakan petugas jemaah yang sangat berdidikasi dan disenangi rakan serta menjadi inspirasi dalam memenuhi dan menyempurnakan amal jamaei," ujarnya.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Ar Rahmaniah, Semanggol selepas solat asar hari ini.
#Husin Din #Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri #Timbalan Yang Dipertua Pas #sesak nafas #meninggal dunia #Bagan Serai
;