Bekas ADUN Permatang Berangan meninggal dunia
Bernama
Jun 19, 2016 08:00 MYT
Jun 19, 2016 08:00 MYT
Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan Datuk Yahaya Bakar meninggal dunia akibat penyakit radang paru-paru pada Sabtu.
Beliau berusia 71 tahun.
Allahyarham, yang meninggalkan seorang isteri dan empat anak, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kampung Nyior Sebatang di sini, kira-kira 6 petang setelah menderita penyakit itu sejak enam bulan lepas.
Adiknya Datuk Shamsudin,59, berkata abangnya pernah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) selama dua bulan pada Mac lepas.
Selepas itu, katanya, keadaan kesihatan Yahaya semakin baik dan dibenarkan pulang ke rumah namun, terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan sepenuhnya.
"Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya kerana tidak sanggup melihat penderitaan yang ditanggung ekoran masalah kesihatannya itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Sabtu malam.
Jenazah Allahyarham akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Nyior Sebatang kira-kira 10 pagi Ahad.
Yahaya menjadi ADUN Permatang Berangan selama tiga penggal sejak 1986. Allahyarham pernah menjawat beberapa jawatan dalam kerajaan negeri ketika Barisan Nasional (BN) menerajui Pulau Pinang termasuk Exco Perumahan, Alam Sekitar dan Kesihatan dan Exco Hal Ehwal Agama dan Pelajaran.
Beliau juga pernah menyandang jawatan Yang Dipertua Majlis Seberang Perai (MPSP) sebelum menamatkan perkhidmatannya pada 2000.