Bekas ADUN Lumadan, Dayang Mahani Pengiran Ahmad Raffae meninggal dunia

Abdul Hafiz Mustadi
Ogos 6, 2022 16:25 MYT
Allahyarham Dayang Mahani pernah menyandang jawatan sebagai Menteri Kerja Raya Sabah, selain pernah menjadi Ketua Wanita Umno Sabah pada tahun 2000 hingga 2004.
KOTA KINABALU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri DUN Lumadan, Datuk Dayang Mahani Pengiran Ahmad Raffae dilaporkan meninggal dunia pada pukul 10.30 Jumaat malam.
Beliau sebelum ini dikhabarkan sedang mendapatkan rawatan dan memerlukan bekalan darah A di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu menghembuskan nafas terakhir di hospital yang sama.
Menurut sumber ahli keluarga terdekat, jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumah di Luyang untuk diurus dan disembahyangkan di Masjid Jamek Likas pada 10 pagi hari ini.
Untuk rekod, Dayang Mahani pertama kali mewakili DUN Lumadan pada tahun 1986 atas tiket parti USNO setelah menewaskan Rashid Gador daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) dengan kelebihan majoriti sebanyak 3,737.
Anak kepada bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-2, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Pengiran Ahmad Raffae itu berjaya mempertahankan kerusi DUN Lumadan selama tiga penggal sehingga tahun 1999 sebelum digantikan oleh Sarinum Sadikun daripada UMNO.
Dayang Mahani yang meninggal pada usia 71 tahun pernah menyandang jawatan sebagai Menteri Kerja Raya Sabah, selain pernah menjadi Ketua Wanita Umno Sabah pada tahun 2000 hingga 2004.
#Dayang Mahani Ahmad Raffae #meninggal dunia #bekas ADUN Lumadan #Sabah
;