Bekas ADUN Bersatu didakwa cabul wanita
Shuhada Abdul Kadir
Jun 12, 2022 10:45 MYT
Jun 12, 2022 10:45 MYT
MUAR: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita, Januari lalu.
Tertuduh yang berusia 54 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa dihadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 27 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatan wanita berkenaan.
Kesalahan itu dilakukan di dalam sebuah kereta mewah jenis Toyota Vellfire di daerah Muar pada jam kira-kira 5 petang, 13 Januari 2022 lalu.
Justeru, tertuduh yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kota Tinggi didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksima 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana daripada dua seksaan itu.
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos mencadangkan jaminan sebanyak RM 5,000 dikenakan terhadap tertuduh.
Tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Mohd Nasir dan Muhammad Izzad Syafiq Ismail bagaimanapun merayu jumlah jaminan berkenaan dikurangkan dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama sepanjang siasatan polis dijalankan.
Majistret Amalina pada penghakimannya kemudian membenarkan jaminan RM 4,000 dengan seorang penjaminan dan menetapkan 3 Julai ini sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Mahkamah turut menetapkan 16 hingga 18 Ogos depan sebagai tarikh perbicaraan.
Sebelum ini, media melaporkan polis menerima laporan daripada seorang wanita yang juga Ahli Jawatankuasa Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kota Tinggi mendakwa diganggu secara seksual oleh bekas ADUN berkenaan.