Bekas ADUN Alor Limbat maut ditembak

Ashwad Ismail
Oktober 9, 2015 16:35 MYT
Alias menjadi ADUN kawasan berkenaan selama dua penggal bermula tahun 2004. - Gambar Fail
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Limbat, Alias Abdullah, 51, meninggal dunia dipercayai ditembak di rumahnya di Marang selepas solat Jumaat.
Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mohd Suhaimi Ali yang mengesahkan kejadian berkenaan memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut.
Sementara itu Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Abd Rahman mengesahkan kejadian itu berkata polis masih lagi menyiasat motif kejadian tersebut.
"Polis masih menyiasat daripada beberapa aspek dan saya telah mengarahkan anggota saya untuk mendapatkan laporan siasatan lengkap," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Dalam kejadian 2 petang itu, mangsa yang berada di bahagian dapur rumahnya didatangi seorang lelaki tidak dikenali menaiki motosikal lalu melepaskan satu das tembakan yang mengenai pipi kiri mangsa.
Susulan kejadian itu mangsa dibawa ke klinik kesihatan Bukit Payung oleh jiran mangsa Mohd Zuraini Mamat, untuk diberikan rawatan kecemasan sekitar 2.15 petang, namun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia.
Allahyarham wakil rakyat Alor Limbat sejak 2004 selama dua penggal dan tewas kepada calon PAS pada pilihan raya umum ke-13 lalu manakala jawatan politik terakhirnya ialah sebagai Ketua UMNO Cawangan Alor Limbat.
Sebelum menjadi wakil rakyat, Allahyarham bertugas sebagai Ketua Unit Pendakwaan Negeri Terengganu (Timbalan Pendakwa Raya/Peguam Kanan Persekutuan) dari 1 Mei 1997 hingga 18 Nov 1999).
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat anak.
#ADUN #Ahli Dewan Undangan Negeri #alias abdullah #Alor Limbat #bunuh #polis #tembak
;