Bekalan vaksin di Sabah ditingkatkan pada Julai dan Ogos - Masidi
Nickyson Nyambar
Jun 27, 2021 19:51 MYT
Jun 27, 2021 19:51 MYT
KUALA LUMPUR: Kuota bekalan vaksin di Sabah akan ditingkatkan kepada 792,000 dos pada Julai dan 1.1 juta dos pada Ogos.
Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, penambahan itu akan meningkatkan kapasiti pemberian vaksin sekali gus mampu mencapai sasaran 30,000 suntikan sehari pada bulan depan.
Menurutnya, sekiranya bekalan vaksin tiba dalam tempoh ditetapkan, Sabah akan mencapai imuniti kelompok menjelang hujung tahun ini.
"Menjelang bulan depan, kita dapat menggandakan jumlah pemberian vaksin semasa dari 12,000 dos kepada 30,000 dan 37,000 dos pada Ogos, dengan jangkaan vaksin dihantar tepat pada masa. Sabah masih mengekalkan sasaran mencapai imuniti kelompok menjelang hujung tahun ini," katanya pada kenyataan pada Ahad.
Vaksin COVID-19 | Sabah terima tambahan 1.1 juta vaksin pada Ogos
Mengulas mengenai cadangan beberapa pihak di Sabah yang mahu kerajaan negeri membeli vaksin bagi mempercepatkan proses imunisasi, Masidi berkata, kerajaan negeri perlu akur dengan ketetapan antarabangsa yang memberi memberi keutamaan pembelian hanya melihatkan kerajaan pusat dan syarikat pengeluar.
Bagaimanapun katanya, ini tidak bermakna kerajaan negeri tidak boleh membuat pembelian vaksin tetapi tempoh untuk bekalan itu sampai ke Sabah sangat lama.
"Berdasarkan protokol antarabangsa dalam mendapatkan vaksin, Kerajaan Pusat (sesebuah negara) akan diberikan keutamaan untuk mendapatkan bekalan berbanding tempahan oleh kerajaan negeri dan tempahan persendirian.
"Ini bermakna, Sabah perlu menunggu giliran dan dalam tempoh menunggu itu, semua rakyat Malaysia (kemungkinan) telah menerima suntikan secara percuma. Semua pembelian dilakukan menerusi aturan 'kerajaan ke pengilang', tiada orang tengah yang terlibat," katanya
Dalam masa sama, beliau menolak dakwaan pendaftaran dalam kalangan penduduk Sabah rendah.
Sebaliknya Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah memaklumkan, rata-rata penduduk di pedalaman memilih untuk mendaftar secara manual berbanding aplikasi MySejahtera.
Ujar beliau, Sabah tidak berdepan dengan masalah untuk mendapatkan orang ramai dan sukarelawan bagi membantu dalam proses pendaftaran mendapatkan suntikan. Ini kerana terdapat pasukan petugas khas di setiap daerah yang mengkoordinasi perkara itu termasuk agensi-agensi kerajaan.
#pendaftaran vaksin
#vaksin COVID-19
#pandemik
#Sabah
#bekalan vaksin
#Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah
#Datuk Seri Masidi Manjun