Bekalan ubat rawat influenza mencukupi - Dr Dzulkefly

Irwan Muhammad Zain
Januari 11, 2020 15:47 MYT
Dr Dzulkefly juga memebri jaminan jangkitan influenza yang dikesan berlaku di di Selangor masih terkawal dan vaksin hanya akan diberikan kepada pesakit berisiko tinggi. - Gambar fail
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan bekalan ubat-ubatan untuk merawat influenza akan sentiasa mencukupi, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Dr Dzulkefly menjelaskan masalah bekalan ubat tersebut yang sebelum ini tidak mecukupi di klinik swasta sudah dapat diatasi.
Beliau menjelaskan pihak Pharmaniaga memberi jaminan bekalan ubat untuk merawat influenza ini akan sentiasa mencukupi pada setiap waktu.
"Kebanyakan fasiliti kesihatan swasta sebelum ini dilaporkan kekurangan stok ubat untuk merawat influenza kini sudah mula menerima bekalan masing-masing.
"Memang peringkat awal ada sedikit masalah namun sudah diatasi dan bagi kami KKM, pihak pharmaniaga memberi jaminan akan terus dibekalkan tanpa gangguan bagi memastikan bekalan mencukupi setiap masa," katanya selepas merasmikan Kempen Derma Darah Sk STF 73 di Surau Al-Ikhlasiah Keramat Jaya, pada Ahad.
Sebelum ini KKM menerusi Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu kenyataan media juga telah menjelaskan situasi yang sama.
Kenyataan ini dikeluarkan ekoran tersebar khabar angin yang mendakwa stok ubat-ubatan untuk merawat influenza tidak mencukupi atau sudah kehabisan stok.
Dalam pada itu Dr Dzulkefly juga memberi jaminan jangkitan influenza yang dikesan berlaku di di Selangor masih terkawal dan vaksin hanya akan diberikan kepada pesakit berisiko tinggi.
Beliau memberi jaminan, jangkitan Influenza A yang menyerang guru dan pelajar di Cyberjaya dan Klang itu juga terkawal dan tidak sampai ke tahap penutupan sekolah.
“Kejadian wabak tersebut tidak melibatkan penutupan mana-mana sekolah yang terlibat dan secara keseluruhannya kesemua wabak yang dilaporkan berada dalam keadaan terkawal.
“Kementerian Kesihatan akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memantau situasi kejadian influenza di institusi pendidikan dan langkah pencegahan dan kawalan yang dijalankan,” katanya.
Jabatan Kesihatan Negeri Selangor semalam memaklumkan 20 pelajar dan seorang guru didapati positif Influenza A.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, jangkitan influenza yang berlaku di Malaysia juga tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kejadian radang paru-paru (pneumonia) yang sedang berlaku di Wuhan, China.
#Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad #Influenza #Kementerian Kesihatan #KKM #Pharmaniaga #ubat
;