Bekalan terhad, harga sekilo ayam segar cecah RM12 di Lembah Klang

Umavathi Ramayah
Mei 21, 2022 15:29 MYT
(Dari atas, ikut arah jam) Zamri Mohammad, Admidah Nahuri, Mohd Mahizam Mohd Sulan dan Siti Azura Zolkefli berdepan dilema tersendiri berkaitan bekalan ayam. - Gambar Astro AWANI
SERI KEMBANGAN: Isu kekurangan ayam segar di pasar-pasar utama sejak beberapa hari lalu membelenggu rakyat Malaysia terutamanya peniaga.
Tinjauan Astro AWANI di Pasar Borong Selangor di sini pada Sabtu mendapati harga ayam naik sehingga RM12 sekilogram berbanding RM9 sekilogram, sebelum ini.
Justeru, ada dalam kalangan peniaga yang terpaksa mengehadkan pembelian kepada pelanggan tetap mereka sahaja.
Seorang peniaga ayam, Robaya Amir, 64, berkata, stok ayam daripada pembekal menurun sehingga 50 peratus sejak beberapa hari yang lalu.
"Jadi saya terpaksa 'jaga' pelanggan tetap, mereka yang walk-in tidak akan dilayan melainkan kita jual ayam dara," katanya ketika ditemui di sini, pada Sabtu.
Pendekatan yang sama turut diambil oleh Zamri Mohammad, 50-an.
Menurutnya, bekalan bekalan ayam yang diterima daripada pemborong hanyalah 3,000 ekor, berbanding lebih 7,000 ekor pada kebiasaan.
"Saya terpaksa mengutamakan pelanggan tetap termasuk kedai-kedai, bagi mereka yang datang terus kalau beli seekor atau dua (ekor), mungkin boleh. Lebih daripada itu susah sikit," ujarnya.
Bagi Siti Azura Zolkefli, 38, pula, isu ini bukanlah sesuatu yang baharu, malah peniaga berdepan dengan situasi ini sejak beberapa bulan yang lalu dan meruncing selepas Hari Raya Aidilfitri lalu.
"Sekarang kalau kita minta dalam 1,400 ekor ayam (daripada pembekal), kita hanya dapat kira-kira 800 ekor.
"Tambah-tambah ramai yang buat rumah terbuka, jadi permintaan tinggi, kita terpaksa bekalkan kepada mereka dan juga kantin sekolah yang merupakan pelanggan tetap kami, ini menyebabkan bekalan ayam tidak mencukupi," katanya.
Sementara itu, seorang peniaga kedai ayam penyet di Sri Petaling, Admidah Nahuri, 38, berkata, jika harga ayam terus kekal pada kadar semasa, dia tiada pilihan lain selain menaikkan harga makanan di kedainya.
"Saya betuk-betul terkejut bila dengar harga. Sebelum ini saya beli pada harga RM8 lebih, tapi tadi saya tanya jadi RM12 sekilogram pula.
"Saya ini peniaga ayam penyet. Saya yang peniaga ini, ayam merupakan menu utama, memang terasa kesannya," ujarnya.
Seorang lagi pelanggan, Mohd Mahizam Mohd Sulan, 42, pula berkata, dia datang ke pasar untuk membeli 10 ekor ayam segar bagi jamuan rumah terbuka Aidilfitri malam ini.
"Melihat pada harga, mungkin saya akan kurangkan atau beli bahan makanan yang lain," jelasnya.
Sebelum ini, Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor (PPANS) mengesahkan tiada pengeluaran ayam dari ladang pada Sabtu, yang disebabkan isu bekalan berpunca ayam sakit.
#bekalan ayam #harga siling #harga melonjak #persatuan ayam
;