Bekalan tepung gandum tidak terjejas, 80 peratus diimport dari Australia - KPDNHEP
Hafizi Rosli
Mei 17, 2022 12:19 MYT
Mei 17, 2022 12:19 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia mengimport 80 peratus biji gandum dari Australia dan selebihnya dari Amerika Syarikat, Kanada dan Ukraine.
Justeru, jelas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), larangan India mengeksport gandum susulan gelombang haba akibat cuaca panas terik tidak menjejaskan bekalan tepung gandum negara.
Dalam kenyataan KPDNHEP di laman Twitternya memaklumkan, seramai 2,200 penguat kuasa akan sentiasa membuat pemantauan.
Ini bagi memastikan bekalan tepung bersubsidi dan tidak bersubsidi stabil di pasaran.
Ia sekali gus menepis dakwaan bekalan tepung gandum negara bakal terjejas untuk tempoh beberapa bulan lagi.
Sebelum ini, India dilapor mengenakan larangan eksport gandum berkuat kuasa serta-merta.
Ia susulan gelombang haba akibat cuaca panas terik yang menjejaskan hasil tanaman dengan harga bekalan tempatan mencecah rekod tertinggi.