Bekalan telur lebihi permintaan, Fama akan buka lebih 1,300 pasar tani - Zahid

Hasimi Muhamad
Mei 18, 2023 12:48 MYT
Ahmad Zahid berkata, Fama telah melaksanakan kerjasama strategik dengan 11 pembekal utama telur ayam di seluruh negara bagi mendapatkan bekalan yang mencukupi. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Bekalan telur dalam negara ketika ini telah berada pada tahap melebihi permintaan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) telah melaksanakan kerjasama strategik dengan 11 pembekal utama telur ayam di seluruh negara bagi mendapatkan bekalan yang mencukupi.
Jelas beliau, Fama mempunyai kapasiti untuk membekalkan sebanyak 1.33 juta biji seminggu yang diedarkan terus ke premis peruncitan Fama serta melalui kerjasama strategik dengan perantara pasaran.
“Saya telah mengarahkan agar pihak Fama membuka lebih banyak pasar tani mengikut kepadatan penduduk di satu-satu kawasan.
“Fama telah diarahkan untuk membuka mengikut nisbah penduduk di mana Fama harus mempunyai perancangan membuka 1,391 pasar tani ini, ditumpukan di kawasan berpenduduk tinggi di Semenanjung.
“Manakala, untuk Sabah dan Sarawak, Fama telah mencuba untuk (membuka) pasar tani tetapi Sabah dan Sarawak lebih berminat dengan pasar tamu. Jadi pelarasan dapat dilakukan,” katanya di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bilangan 3 di ibu negara, hari ini.
Jelas Ahmad Zahid, sehingga 8 Mei lalu sebanyak 28.10 juta biji telur ayam telah diedarkan kepada pengguna.
Bekalan tersebut, ujarnya diedarkan ke 369 premis pemasaran Fama seperti Pasar Tani, Pasar Tani Kekal dan Agrobazaar Kedai Rakyat.
“Selain itu 59 peratus dari bekalan (16.58 juta biji) telah diedarkan melalui usaha pengaturan pasaran Fama bersama usahawan-usahawan pemasar,” tambah Ahmad Zahid.
Mengenai penguatkuasaan pula, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, beberapa langkah telah dilakukan untuk mengekang pencatutan harga, selain isu penyeludupan barangan bersubsidi telah berada pada tahap yang cukup baik.
Sementara itu berhubung pelaksanaan subsidi bersasar, Ahmad Zahid berkata ia telah pun dilaksanakan secara berfasa terhadap produk-produk tertentu.
"Mana-mana perkhidmatan atau produk untuk subsidi bersasar itu, kita telah jalankan.
"Terdapat beberapa langkah lain untuk subsidi bersasar yang dibentangkan kepada Kabinet dan pelaksanaannya akan dilakukan mengikut tempoh waktu yang telah ditetapkan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup," katanya.
#bekalan telur #Zahid Hamidi #pemintaan telur #FAMA
;