Bekalan telur dalam negara dijangka pulih menjelang Aidilfitri
Hasimi Muhamad
Mac 8, 2023 16:07 MYT
Mac 8, 2023 16:07 MYT
KUALA LUMPUR: Bekalan telur dalam negara dijangka dapat dipulihkan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihak pengeluar telur telah memberi jaminan mampu untuk memulihkan keadaan seperti empat tahun lalu.
Jelas beliau, usaha memulihkan bekalan telur dalam pasaran dilakukan melalui sesi dialog bersama pengeluar-pengeluar telur dalam negara.
"Kita usaha sekarang dan berdialog dengan pengeluar telur dan mereka telah berjanji untuk 'flood the market' dalam masa terdekat menjelang Hari Raya Puasa.
"Dengan keadaan lancar, kita harap (tiada) bencana besar dan pulihkan kedudukan itu seperti empat tahun lalu.
"Memang saya kata lima atau enam tahun dulu Malaysia pengeksport telur dan kita akan kembali ke era itu tetapi dengan cara berdialog dan berbincang termasuk dengan pengusaha-pengusaha telur besar di Selangor dan negeri-negeri lain.
"Mereka kata berupaya pergi ke arah itu dan sedang bersama dengan pengusaha. Kita mahu pengeluar mendapat untung dan pengguna tidak menanggung beban," katanya ketika sesi penggulungan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Rabu.
Mohamad menjawab celahan Datuk Mohd Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang mahu tahu syarikat yang diberikan permit import (AP) telur dari India, dan adakah ia melibatkan peruntukan kerajaan serta dilaksanakan secara tender terbuka.
Mengulas mengenai perkara itu, Mohamad (PH-Kota Raja) berkata, AP untuk mengimport telur tidak melibatkan peruntukan kerajaan dan ia dibuat kerana 'special case' bagi menampung keadaan telur dalam pasaran negara buat sementara.
"Lepas ini kalau keadaan perusahaan telur ini pulih, kita akan kurang import atau hentikan import.
"Kalau keadaan meruncing misalnya berlaku banjir atau kekurangan sumber, kemungkinan kita boleh import syarikat-syarikat yang bersedia. Misalnya dari Thailand, Turkiye dan lain-lain.
Katanya lagi, syarikat yang dikenali sebagai 'J&E' (J&E Advance Tech sdn Bhd) diberikan AP membawa masuk telur dari India kerana pengalaman syarikat itu termasuk memenuhi keperluan di Qatar ketika penganjuran Piala Dunia FIFA.
Dalam pada itu, Mohamad menegaskan tidak berlaku kegiatan kartel daging import, sebaliknya kebenaran mengimport diberikan bagi menampung pengeluaran daging tempatan.
"Pengeluaran tempatan hanya mampu menyediakan 20 peratus sahaja untuk daging kambing dan lembu di Malaysia. Oleh itu, sebahagian lagi ditampung oleh daging luar.
"Kita sedang berusaha dengan begitu kuat misalnya Agrobank agar tumpu betul-betul untuk membantu mereka yang mahu terlibat atau sudah terlibat supaya membesarkan ternakan mereka.
"Kita harap ia dapat menambah bilangan lembu, kerbau dan kambing," ujarnya.