Bekalan telur, ayam, daging cukup menjelang Hari Raya - Mohamad

Hasimi Muhamad
April 15, 2023 11:17 MYT
Kerajaan memberi jaminan bekalan barangan asas seperti telur, ayam dan daging adalah mencukupi menjelang sambutan Aidilfitri. - Gambar hiasan/Astro AWANI
PETALING JAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bekalan barangan asas seperti telur, ayam, serta daging adalah mencukupi menjelang sambutan Aidilfitri.
Menurut menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu, kementerian juga akan mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk memenuhi bekalan telur, jika ia tidak mencukupi di tempat-tempat tertentu.
"Bagi telur import pula, kita bincang dari masa ke masa. Kalau (bekalan) telur tempatan ini tidak cukup, kita akan buat keputusan segera dan boleh bertindak segera untuk memenuhi pasaran.
"Tak ada spesifik rangka masa (pengimportan telur). Kita juga berbincang dengan semua pihak pengeluar telur, pengguna dan sebagainya.
"Apabila keadaan nampak runcing, kita akan import pada bila-bila masa. Kita dah buat garis panduan untuk import kalau berlaku kekurangan yang ketara," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Jualan Syawal Madani Peringkat Kebangsaan di Tapak Pasar Tani Seksyen 6, Kelana Jaya.
#bekalan ayam #Aidilfitri #Mohamad Sabu #telur import
;