Bekalan tambahan diesel ke Sarawak dalam tempoh dua hari - Armizan

Bernama
Disember 27, 2023 18:40 MYT
Datuk Armizan Mohd Ali berkata Petronas juga disyaratkan untuk mengemukakan senarai stesen-stesen minyak yang terlibat dengan penghantaran bekalan tambahan itu. - Gambar fail/Astro AWANI
KUCHING: Petronas Dagangan Berhad sedang melaksanakan penghantaran bekalan tambahan diesel ke Sarawak dalam tempoh dua hari ini susulan terputusnya bekalan bahan api itu di stesen milik Petronas di negeri ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata Petronas juga disyaratkan untuk mengemukakan senarai stesen-stesen minyak yang terlibat dengan penghantaran bekalan tambahan itu.
"(Ini) untuk membolehkan pemantauan dibuat secara menyeluruh," katanya dalam mesej WhatsApp yang diterima Bernama di sini, hari ini.
Dalam kita menyelesaikan isu ini segera untuk menangani keperluan pengguna di kawasan-kawasan terjejas, Petronas dan syarikat minyak terlibat telah diminta mengemukakan laporan penuh dan dokumen terperinci punca isu berbangkit," katanya.
Menurutnya, kaedah penyelesaian itu dicapai hasil perbincangan di antara pihak kementeriannya dengan Kementerian Kewangan dan Petronas.
Kekurangan bekalan diesel bersubsidi di Sarawak dibangkitkan oleh Pengerusi DAP negeri itu, Chong Chieng Jen pada Isnin lepas yang berkata situasi itu sudah berlaku sejak dua minggu lepas.
Katanya kegiatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang menggunakan diesel bersubsidi untuk tujuan industri telah menyebabkan kuota untuk kegunaan orang ramai di negeri itu tidak mencukupi.
-- BERNAMA
#bekalan tambahan #diesel #Sarawak #kpdn #Armizan Mohd Ali #Petronas Dagangan Berhad
;