"Bekalan susu anak saya sudah nak habis" - Penduduk Batu 23 Hulu Langat
Hasimi Muhamad
Mac 30, 2020 15:57 MYT
Mac 30, 2020 15:57 MYT
“Saya bimbang, bekalan susu anak saya sudah nak habis.”
Demikian luah seorang bapa, Azizul Awang, 32, yang buntu apabila terpaksa berkurung di dalam rumah selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 berkuat kuasa malam tadi.
Penolong Pegawai Kawalan Alam Sekitar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu berkata, bekalan susu anak sulungnya yang berusia 10 bulan kini hanya mampu bertahan setakat hari ini.
Meskipun kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan makanan akan dihantar ke kawasan tersebut, namun sebagai ketua keluarga, keperluan asas anak-anak sentiasa menjadi keutamaan.
“Saya sudah membuat pesanan secara dalam talian untuk susu dan lampin anak, baru dapat tahu semalam kerajaan sudah ketatkan kawalan pergerakan di kawasan saya.
“Jadi, semua jalan sudah disekat dan (penduduk dan orang luar) tidak dapat keluar dan masuk. Kami memang kena berada di dalam kawasan ini (kediaman) buat sementara waktu sehingga 13 April ini,” katanya kepada Astro AWANI hari ini.
Jelas kedengaran nada suara Azizul begitu sayu dan khuatir akan bekalan susu anaknya, ditambah pula segala maklumat yang dibekalkan kepada penduduk sepanjang hari pertama PKPD masih kurang jelas.
“Saya harap (pihak berkuasa) yang menjaga pos kawalan boleh membenarkan seorang sahaja (wakil keluarga) untuk keluar membeli barangan yang amat perlu ketika ini.
“Selain itu, hebahan (maklumat) perlu dibuat secara lebih terperinci kerana maklumat berkaitan masih tidak sampai kepada penduduk-penduduk di sini,” tambahnya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk Batu 23 Kampung Sungai Lui, Shaharizal Bahari, 43, berkata setakat ini dia hanya merujuk kepada kumpulan WhatsApp untuk mendapatkan perkembangan terkini termasuk berhubung pengagihan barangan asas.
“Setakat ini, saya lihat penduduk memberi kerjasama dengan duduk di rumah dan katanya bantuan akan diberikan kepada penduduk. Namun setakat ini (12 tengah hari) masih belum ada, kemungkinan mereka (Jabatan Kebajikan Masyarakat) sedang urus.
“Cuma apa yang saya risau adalah bahan keperluan yang tidak dijangka seperti kehabisan gas seperti yang saya sedang lalui sekarang. Tiba-tiba gas habis, kami nak masak pun tak dapat sebab bantuan pun katanya tengah hari,” luah pelukis pelan itu.
Dalam pada itu, Farizuan Abdul Hamid, 25, berharap pihak berkaitan boleh mempercepatkan urusan pemberian keperluan asas bagi mengelakkan penduduk setempat kehabisan stok.
“Kalau di pihak saya dan keluarga, untuk setakat satu atau dua hari ini mungkin ada lagi sebab biasa kita beli barang pun memang untuk dua atau tiga hari sahaja.
“Bagi hari seterusnya, kita harap daripada pihak kerajaan dan mana-mana agensi yang mahu membantu, kita harap dalam satu atau dua hari ini ada bekalan yang diturunkan kepada kami,” katanya yang mengakui bahawa keadaan masih lagi terkawal.
#Batu 23 Sungai Lui
#COVID-19
#DBKL
#Kuala Lumpur
#Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan PKPD
#WhatsApp