Bekalan parasetamol berkurangan di Pahang
Sinar Harian
Februari 25, 2022 08:42 MYT
Februari 25, 2022 08:42 MYT
KUANTAN: Bekalan parasetamol terutama berjenama terkemuka semakin berkurangan dan agak sukar didapati di farmasi komuniti serta di kedai serbaneka di sekitar negeri ini.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa farmasi komuniti, kedai runcit dan kedai serbaneka mendapati bahagian rak yang mempamerkan bekalan ubat berkenaan didapati kosong.
Ia dikatakan berpunca daripada peningkatan pembelian sebagai persediaan untuk mengurangkan kesan sampingan seperti demam, sakit sendi dan sakit kepala selepas menerima suntikan dos penggalak.
Pemilik Farmasi Sekilau, Zuraida Abdul Kadir, 48, mengakui berdepan situasi itu terutama jenama keluaran GlaxoSmithKline (GSK) sekitar Jun dan Julai tahun lalu.
Menurutnya, kekurangan bekalan ubat itu disebabkan pembelian panik pengguna susulan dikatakan dapat melegakan simptom pasca vaksinasi.
"Bekalan ubat parasetamol jenama terkemuka paling terjejas bermula bulan ini. Kami langsung tiada bekalan sedangkan pengguna mahu menggunakan ubatan jenama itu.
"Kami juga tidak dibenarkan membuat tempahan barangan (ubatan) sendiri sebaliknya perlu mendapatkan bekalan daripada pembekal.
"Malah agihan ubat itu turut dihadkan kepada jumlah tertentu kepada setiap farmasi-farmasi dan kedai serbaneka," katanya ketika ditemui Sinar Harian di farmasi miliknya di Jalan Bukit Sekilau di sini pada Khamis.
Zuraida berkata, masalah ini bukan hanya berlaku di Malaysia sebaliknya di seluruh dunia.
"Kami difahamkan punca kekurangan ubatan membabitkan jenama terkemuka itu disebabkan bahan mentah (raw material) dalam penghasilan ubatan-ubatan terbabit.
"Seluruh dunia hadapi situasi ini, kami tidak dapat berbuat apa-apa dan pengguna pula perlu memilih kepada ubatan jenama lain yang masih ada di pasaran," ujarnya.
Zuraida tidak menolak kemungkinan berlaku kenaikan harga sekitar 10 peratus berbanding harga sedia ada bagi parasetamol.
Bagaimanapun, beliau meminta pengguna bersedia dengan kenaikan harga ubat-ubatan di farmasi.
Senada dengan Zuraida, pegawai farmasi di sebuah farmasi di Jalan Wong Ah Jang, Michelle Ong, 43, berkata, pembelian parasetamol semakin meningkat susulan pengambilan dos penggalak sejak Jun tahun lalu.
Menurutnya, terdapat beberapa jenama ubat parasetamol terjejas dan berkurangan susulan pembelian panik daripada pengguna.
"Jenama lain ada yang terjejas, tetapi kekurangan ubatan dari jenama terkemuka itu antara yang paling kritikal. Kebanyakan pengguna mahukan ubatan jenama itu sahaja.
"Saya telah membuat tempahan daripada pembekal sejak Disember lalu, tetapi bekalan diperoleh dalam jumlah yang terhad dan seolah-olah bekalan itu dicatu.
"Bila ditanya punca, pembekal maklumkan bekalan tiada di peringkat pengeluar dan masalah kekurangan bekalan ubatan ini bukan hanya berlaku di daerah ini, namun turut melanda negeri -negeri lain serta dunia," ujarnya.
Sementara itu, pekerja sebuah kedai serbaneka, Roslan Abd Rahim, 33, memaklumkan permintaan luar biasa daripada pengguna menyebabkan bekalan ubat jenama terkemuka itu habis di pasaran sejak kebelakangan ini.
"Pesanan untuk mendapatkan bekalan itu sudah dibuat, namun sehingga kini masih belum diperoleh.
”Saya tidak pasti berapa lama bekalan ubatan ini akan sampai," katanya.
Pengguna, Dalila Sari Abd Wahab, 35, yang bekerja sendiri berkata, dia menyedari bekalan parasetamol sukar diperoleh sejak beberapa hari lalu.
"Saya terpaksa pergi mencari sehingga tiga atau empat kedai, baru dapat beli. Dahulu, agak mudah untuk membeli ubatan jenama itu di pasaran.
"Saya tidak tahu apa punca kenapa semua barang termasuk ubatan-ubatan semakin sukar untuk diperoleh,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Mutalib Hamid, 41, berkata, penggunaan parasetamol sangat penting dan beranggapan setiap rumah perlu menyimpannya sebagai langkah berjaga-jaga.
”Sekiranya demam atau kurang sihat, boleh mengambil ubatan dari jenama terkemuka itu sebagai rawatan awal," katanya.
*Berita asal di Sinar Harian