Bekalan minyak masak di Selangor mencukupi - KPDNKK

Bernama
November 5, 2016 08:29 MYT
Bekalan minyak masak sama ada dalam pek atau botol di Selangor masih mencukupi walaupun terdapat aduan tiada bekalan bahan itu di sesetengah premis di Sepang, Gombak dan Kuala Kubu Baharu. -Gambar fail/AFP
Bekalan minyak masak sama ada dalam pek atau botol di Selangor masih mencukupi walaupun terdapat aduan tiada bekalan bahan itu di sesetengah premis di Sepang, Gombak dan Kuala Kubu Baharu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri, Mior Najmuddin Mior Dzulkifli berkata masalah ketiadaan bekalan bahan itu berlaku disebabkan sesetengah pengguna melakukan pembelian secara panik dan melebihi keperluan.
"Secara amnya, keadaan minyak masak di Selangor terkawal dan semalam, kita memeriksa 40 premis di seluruh Selangor termasuk premis pembungkusan semula, pemborong serta peruncit dan mendapati bekalan mencukupi.
"Cuma di sesetengah lokasi di Sepang, Gombak dan Kuala Kubu Baharu, kita terima aduan tiada bekalan, namun ia masalah sementara yang dapat diatasi dalam waktu terdekat setelah ibu pejabat menambah kuota bekalan," katanya kepada Bernama selepas menghadiri program amal bersama Friends of KPDNKK (FOK) dan pasar raya Giant di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai penstrukturan semula Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) yang menyaksikan harga minyak masak paket 1 kilogram kekal RM2.50, namun minyak masak dalam botol akan dijual mengikut harga pasaran berkuat kuasa 1 Nov ini.
Dalam pada itu, Mior Najmuddin berkata pihaknya tidak mengesan sebarang aktiviti menyorok bekalan minyak masak, dan pegawai penguatkuasa sentiasa berada di lapangan untuk memastikan tiada kegiatan seumpama itu berlaku.
Beliau berkata semua aduan mengenai kekurangan bekalan minyak masak juga berjaya diselesaikan oleh pihaknya.
Mengenai aktiviti hari ini, katanya lebih 300 penunggang motosikal berkuasa tinggi berkonvoi sejauh 100 kilometer dari ibu pejabat KPDNKK di Putrajaya ke pasar raya Giant di sini, bagi meraikan 40 anak-anak asnaf menerusi program amal bersama FOK.
Beliau berkata tujuan program itu adalah untuk menyebarkan maklumat kepenggunaan kepada orang ramai, selain mempromosikan FOK dan melakukan aktiviti amal.
Kumpulan itu seterusnya menuju ke Sekolah Kebangsaan Bandar Baru, Kuala Selangor bagi aktiviti gotong-royong bersama guru dan pelajar. -- BERNAMA
#aduan bekalan #bekalan mencukupi #minyak masak #Mior Najmuddin Mior Dzulkifli