Bekalan makanan untuk penduduk Pasai Siong sudah diagihkan - Dr Annuar

Fadilah Sulaiman
Januari 10, 2021 10:36 MYT
Bantuan berupa barangan makanan asas seperti beras, gula, dan mi segera itu diteruskan hari ini. - Foto Astro AWANI
SIBU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sibu telah menyalurkan bantuan makanan asas kepada lebih 2,000 penduduk rumah panjang di Pasai Siong yang dikenakan sekatan pergerakan sejak semalam.
Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dr Annuar Rapaee berkata, bantuan berupa barangan makanan asas seperti beras, gula, dan mi segera itu diteruskan hari ini.
"Bantuan bekalan makanan untuk penduduk yang terlibat dalam sekatan pergerakan di Pasai Siong sudah mula dihantar bermula petang semalam dan bersambung pagi Ahad.
"Saya menjangkakan semua penduduk akan menerima bantuan mereka hari ini," katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.
Dalam perkembangan yang sama, Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka memberitahu, pemasangan khemah di Stadium Tertutup Sibu sudah siap dilaksanakan sebagai persediaan lokasi pusat kuarantin tambahan.
#Pasai Siong #bantuan makanan #COVID-19 #kes positif #Sibu #Sarawak #Dr Annuar Rapaee