Bekalan keperluan harian kurang, mahal di Negeri Sembilan tidak benar

Bernama
Jun 19, 2016 20:43 MYT
Kerajaan negeri pada Ahad menafikan khabar angin kononnya bekalan barang keperluan harian semakin berkurangan dan dijual pada harga tinggi ketika Ramadan. - Gambar hiasan
Kerajaan negeri pada Ahad menafikan khabar angin kononnya bekalan barang keperluan harian semakin berkurangan dan dijual pada harga tinggi ketika Ramadan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Datuk Hasim Rusdi berkata barang kawalan tetap dijual pada harga lama.
"Saya lihat 17 barang kawalan yang dijual tetap dengan harga lama malahan ada lagi peniaga yang sanggup menjual barangan jauh lebih murah daripada harga kawalan," ujarnya.
Sebagai contoh harga sekilo ayam dijual pada harga RM7.90 tetapi peniaga pasar tani boleh jual pada harga RM7.70, lebih rendah daripada harga kawalan.
"Selain itu, sayur-sayuran juga dijual begitu murah malah konsep longgok masih ada. Jika kita membawa RM10, kita boleh dapat 10 jenis sayuran kerana setiap ikat dijual pada harga RM1," katanya kepada pemberita pada program Pemimpin bersama Pemasar di Pasar Tani Paroi Jaya di sini.
Menurut beliau, pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang aduan daripada orang ramai mengenai bekalan kurang dan harga barang naik.
#Harga Barangan #Hasim Rusdi #Ramadan #sayur
;