Bekalan darah negara menyusut, keprihatinan orang ramai ditagih
Hasimi Muhamad
Januari 23, 2021 15:43 MYT
Januari 23, 2021 15:43 MYT
KUALA LUMPUR: Bekalan darah di Pusat Darah Negara (PDN) ketika ini semakin berkurangan dan hanya mampu menampung purata keperluan untuk anggaran kegunaan selama lima hari.
Menurut Pakar Perubatan Transfusi PDN, Dr Thane Moze Darumalinggam, PDN memerlukan sekurang-kurangnya 500 hingga 600 beg darah sehari.
Katanya, bekalan tersebut menunjukkan penurunan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menampung 2,000 beg darah sehari untuk keperluan seluruh negara.
Beliau menambah PDN menyasarkan sekurang-kurang 3,500 beg darah untuk kegunaan seminggu.
“Kami menampung sekurang-kurangnya 1,000 pesakit tetapi buat masa ini kami agak berkurangan sebab kami forecasting (jangkaan) juga dan dalam forecasting perlukan untuk Lembah Klang sahaja antara 500 hingga 600 beg darah dalam sehari. Buat masa ini (bekalan darah) tidak cukup untuk menampung tujuh hari.
"Dengan stok terbaharu yang kami ada pagi ini, stok kumpulan darah O, A dan B memang berkurangan. Manakala, kumpulan AB memang mencukupi. Jadi kami memang mengalakkan penderma-penderma darah yang berkumpulan darah O,A, B untuk tampil ke depan menderma darah," katanya ketika ditemui, di sini pada Sabtu.
Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan bekalan darah akan mencapai tahap kritikal, jika ia mampu bertahan untuk keperluan kurang lima hari.
Mengulas lanjut, beliau berkata pelaksanaan PKP telah memberi sedikit cabaran kepada PDN untuk menjalankan aktiviti kutipan darah.
Di tambah pula, keadaan di beberapa negeri ketika ini turut berdepan dengan masalah banjir.
Namun, tegas Dr Thane, kempen pendermaan darah secara bergerak atau mobile giat dijalankan bagi membantu penderma yang berdepan kekangan untuk datang ke PDN.
"Dalam fasa PKP sebelum ini memang kami sudah buat (perkhidmatan pick-up) di Putrajaya dengan PUSPANITAPURI.
"Kebelakangan ini kami juga menggalakkan untuk mereka menggunakan perkhidmatan ini. Kami memang ada hotline dan boleh juga layari laman sesawang kami," jelas beliau.
Katanya, PDN memberi jaminan bahawa prosedur operasi standard (SOP) berada pada tahap yang tinggi bagi memastikan keselamatan penderma ketika penularan COVID-19.
Sehubungan itu, katanya penderma tidak perlu khuatir kerana aktiviti pendermaan adalah selamat.
Setakat ini, masih belum ada kes jangkitan COVID-19 melalui darah yang dilaporkan di seluruh dunia.