Bekalan darah di PDN mencukupi, derma berterusan masih diperlukan

Bernama
September 12, 2022 04:40 MYT
Stok darah di PDN memerlukan bekalan derma darah yang berterusan kerana negara memerlukan kira-kira 2,000 pek darah untuk rawatan perubatan di seluruh negara setiap hari. - Gambar hiasan/ Bernama
KUALA LUMPUR: Bekalan darah di Pusat Darah Negara (PDN) dilihat mencukupi ketika ini, namun bekalan derma darah yang berterusan masih diperlukan, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.
Beliau berkata stok darah di PDN memerlukan bekalan derma darah yang berterusan kerana negara memerlukan kira-kira 2,000 pek darah untuk rawatan perubatan di seluruh negara setiap hari.
"Bagi Lembah Klang, kira-kira 500 hingga 600 sehari diperlukan untuk pelbagai kes melibatkan pembedahan, kemalangan dan rawatan perubatan. Walaupun dengan stok semasa kami, kami masih memerlukan pertambahan berterusan bekalan derma darah di PDN.
"Semua darah kita perlukan cuma kalau untuk Kumpulan darah O ini dia boleh bagi kepada semua, penderma universal. Sekarang kita perlukan darah jenis O dan Keluarga Malaysia dijemput hadir melaksanakan tanggungjawab murni ini untuk sama-sama menderma darah," katanya selepas merasmikan Kempen Derma Darah Seluruh Negara dan Kesedaran Kesihatan anjuran Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), di sini semalam.
Beliau berkata inisiatif kempen yang bermula semalam hingga 31 Okt itu bertepatan dan diperlukan ketika ini memandangkan negara sedang menuju ke arah keendemikan.
"Menderma darah adalah satu tindakan yang mulia dan memberi banyak manfaat kepada penderma. Selain menjaga kesihatan jantung, penderma darah juga boleh mengawal tekanan darah mereka, agar sentiasa berada dalam keadaan normal dan sihat.
"Saya ingin menegaskan di sini bahawa menderma darah harus menjadi tanggungjawab setiap anggota masyarakat. Tanpa sokongan orang ramai, adalah mustahil bagi Pusat Darah Negara dan pusat darah lain di seluruh negara untuk menyediakan darah mencukupi untuk menampung permintaan yang semakin meningkat. keperluan," katanya.
Sementara itu, Dr Noor Azmi memuji usaha LIAM dan mengucapkan tahniah kepada industri insurans dan takaful atas sumbangan sebanyak RM10 juta kepada Tabung Ujian COVID-19 yang ditubuhkan pada 2020 dan telah dimanfaatkan lebih 60,000 pemegang polisi.
"Kementerian juga bekerjasama dengan industri dalam program Baucar Perlindungan Tenang (PTV) yang menawarkan RM75 untuk membantu penerima Bantuan Keluarga Malaysia membeli insurans Perlindungan Tenang daripada syarikat insurans berlesen dan pengendali takaful yang mengambil bahagian di negara ini. Sehingga 6 Sept 2022, lebih 3.7 juta baucar bernilai lebih RM272 juta telah ditebus," katanya.
Kempen bersempena sambutan Hari Malaysia itu juga bertujuan untuk mendidik Keluarga Malaysia tentang kesedaran kesihatan, kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat.
Perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan kaunseling percuma oleh beberapa institusi penjagaan kesihatan juga disediakan di kawasan legar MARA Medan sehingga 15 Sept.
LIAM dan 16 syarikat ahlinya bekerjasama dengan (PDN) dan Persatuan Kebangsaan Insurans Hayat Malaysia dan Penasihat Takaful Keluarga (NAMLIFA) untuk menganjurkan kempen itu di lebih 40 lokasi strategik di seluruh negara.
-- BERNAMA
#derma darah #Pusat Darah Negara #bekalan darah #KKM
;