Bekalan darah di HRPZ II meruncing, mampu bertahan dua hari sahaja
Bernama
Jun 1, 2021 04:44 MYT
Jun 1, 2021 04:44 MYT
KOTA BHARU: Bekalan darah untuk kegunaan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini semakin meruncing dan hanya mampu bertahan untuk tempoh dua hari sahaja.
Pengarah HRPZ II Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata bekalan darah tidak stabil susulan situasi semasa sedangkan dalam masa sama keperluan darah terus meningkat.
Beliau berkata antara inisiatif untuk menangani masalah itu adalah dengan menggalakkan petugas hospital menderma darah selain rakan-rakan badan bukan kerajaan (NGO).
"Selain itu, pengoperasian pusat transfusi darah HRPZ II dari jam 8 pagi hingga 5 petang," katanya kepada pemberita di hospital berkenaan pada Selasa.
Dr Selasawati berkata secara purata, penggunaan harian bekalan darah di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Kelantan adalah sekitar 100 sehingga 120 beg sehari manakala penggunaan di HRPZ II melibatkan 50 hingga 80 beg sehari.
Beliau berkata kutipan bekalan darah dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Februari hingga Mei lepas kurang memuaskan memandangkan tiada pergerakan termasuk ketiadaan pelajar di universiti.
"Oleh itu, saya merayu rakyat Kelantan untuk datang ke hospital bagi menderma darah memandangkan pihak kami tidak boleh mengadakan program besar di luar ketika ini sekali gus menjadi kekangan untuk kami memperoleh bekalan darah.
"Bagi bekas pesakit COVID-19 yang bercadang untuk menderma darah, kita menyarankan mereka menderma darah selepas pulih sekurang-kurangnya selepas tempoh tiga bulan, namun saya berharap lebih ramai penderma yang bukan pesakit wabak itu untuk menderma," katanya dengan menambah pelaksanaan sekatan pergerakan penuh ketika ini diharap dapat mengurangkan permintaan terhadap bekalan darah.
Dr Selasawati turut berharap masyarakat kekal patuh terhadap sekatan pergerakan penuh supaya mengurangkan kemungkinan berlaku kecemasan, kemalangan ataupun trauma yang akan menyumbang kepada pembedahan yang memerlukan bekalan darah yang tinggi.
"Dengan adanya langkah itu, kita dapat memaksimumkan penggunaan bekalan darah kepada pesakit memerlukan ketika menjalani pembedahan kecemasan, ibu-ibu bersalin atau pelanggan tetap hospital termasuk pesakit talasemia dan sebagainya," katanya.
-- BERNAMA