Bekalan daging lembu di Agro Bazar dijamin bebas penyakit FMD

Bernama
Julai 3, 2016 06:38 MYT
Bekalan daging untuk kegunaan pada Aidilfitri dijamin bebas FMD. - Gambar hiasan
Bekalan daging lembu segar dijual di Agro Bazar Rakyat 1Malaysia untuk kegunaan sambutan Aidilfitri dijamin bebas daripada sebarang penyakit kuku dan mulut (FMD).
Anggota Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid berkata sehubungan itu pengguna tidak perlu bimbang dengan kualiti daging berkenaan kerana sudah disahkan bebas penyakit itu daripada Jabatan Veterinar.
"Bekalan daging segar ini juga dijamin mencukupi sehingga hari terakhir untuk menyambut raya nanti," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan zakat Nafas kepada golongan asnaf dari Parlimen Indera Mahkota di sini, hari ini.
Selain itu, Mustaffar Kamal yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Pahang berkata bekalan ayam di agro bazar berkenaan turut ditambah bagi memenuhi permintaan pengguna yang dijangka meningkat bersempena Aidilfitri.
Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak RM50,000 diperuntukkan Nafas sepanjang Ramadan tahun ini untuk pemberian zakat kepada golongan asnaf di kawasan Parlimen Indera Mahkota.
"Bagi yang mana saya tidak sempat bagi sendiri, sumbangan zakat ini akan diberikan melalui JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) ataupun masjid mahupun wakil kepada golongan asnaf dalam usaha membantu golongan asnaf menyediakan keperluan raya," katanya.
Mustaffar Kamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota berkata pada hari ini seramai 350 golongan asnaf dari Parlimen Indera Mahkota mendapat sumbangan zakat itu.
#agro bazar #bekalan daging #daging segar #FMD #penyakit kaki dan mukut #Veterinar