Bekalan beras di Sarawak tidak terjejas

Bernama
September 18, 2023 17:08 MYT
Bernas dijangka membuat kemasukan beras import 13,000 hingga 15,000 tan metrik ke Sarawak setiap bulan. -Gambar fail/Unsplash
KUCHING: Bekalan beras di Sarawak tidak terjejas dan masih boleh menampung keperluan pengguna di negeri ini, dengan Padiberas Nasional Bhd (Bernas) dijangka membuat kemasukan beras import 13,000 hingga 15,000 tan metrik ke Sarawak setiap bulan.
Pengarah Kawalselia Padi dan Beras Sarawak Nor Anizan Radzali berkata selain itu bekalan beras tempatan seperti beras bario, adan dan keladi yang menyumbang kepada 10 peratus sumber beras di Sarawak, tidak terjejas.
"Bekalan beras di Sarawak adalah mencukupi, terdapat 37,000 tan metrik bekalan stok penimbal negara yang sedia ada disimpan untuk kecemasan," katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata pihaknya dan Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Sarawak pula sering menjalankan pemeriksaan bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi di pasaran.
-- BERNAMA
#Sarawak #bekalan beras #BERNAS #Nor Anizan Radzali
;