Bekalan barangan mencukupi, terkawal menjelang Ramadan - Salahuddin
Ridauddin Daud
Mac 15, 2023 13:50 MYT
Mac 15, 2023 13:50 MYT
SUBANG JAYA: Bekalan barangan keperluan masih terkawal menjelang Ramadan pada minggu hadapan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Menurutnya, setakat semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bekalan masih terkawal.
Begitupun, tegasnya, kementerian akan sentiasa meneliti perkembangan tersebut bagi persediaan untuk berdepan sebarang kemungkinan.
Tambah beliau, KPDN juga akan melaksanakan Skim Harga Barang sempena Ramadan namun beliau tidak memperincikam jumlah barangan yang termasuk dalam skim tersebut.
"Itu nanti kita putuskan. KPDN dan MAFS sentiasa bekerjasama di peringkat pegawai untuk melihat, memastikan bekalan rantaian cukup.
"Dari segi harga juga, akan kita pastikan dapat dikawal menjelang perayaan ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Klasiknya Raya Mydin di bawah Payung Rahmah di Subang Jaya hari ini.
Turut hadir dalam program itu ialah Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin.
Saban tahun, setiap kali memasuki bulan Ramadan, pengguna akan meluahkan kebimbangan dengan kenaikan harga barang yang berlaku secara mendadak.
Setiap tahun juga, kerajaan akan melaksakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan menjelang Ramadan bagi membantu mengawal harga barangan di pasaran.