Bekalan bahan mentah akan diimport jika tidak cukup - Tajuddin

Bernama
Jun 4, 2017 20:27 MYT
TAJUDDIN: Kerajaan juga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barang seperti dituduh beberapa pihak.
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengimport bekalan bahan mentah sekiranya berlaku kekurangan bagi menampung permintaan dan keperluan pada Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.
Timbalan Menterinya Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata bagaimanapun setakat ini berdasarkan pemantauan pihaknya mendapati bekalan bahan mentah di pasaran seperti daging lembu dan ayam serta sayur-sayuran masih mencukupi.
Mengulas mengenai kenaikan harga bahan mentah terutama ayam dan sayur-sayuran, Tajuddin berkata perkara itu berlaku berdasarkan faktor perniagaan seperti kos pengeluaran serta penambahan kos oleh pengusaha tani.
"Kerajaan juga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barang seperti dituduh beberapa pihak terutama pembangkang sebaliknya kenaikan itu adalah disebabkan faktor perniagaan yang menyebabkan penambahan kos," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan barang makanan kepada 200 ibu tunggal dan golongan kurang berkemampuan di Parlimen Batu Kawan, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kementeriannya akan berbincang dengan Pelabuhan Pulau Pinang untuk membenarkan FAMA membawa masuk kelapa dari Indonesia melalui pelabuhan itu.
Ini bertujuan memudahkan pengedaran kelapa di kawasan utara dan menurunkan harga bahan itu.
Dilaporkan kelapa selama ini dibawa masuk melalui Pelabuhan Batu Pahat dan ia menyebabkan kos logistik dan upah meningkat untuk pengedaran bahan itu kawasan utara.
-- BERNAMA
#Aidilfitri #bahan mentah #bekalan #Ramadan #Tajuddin Abdul Rahman
;