Bekalan ayam tidak terjejas dengan penularan selesema burung - Mohamad
Abd Hadi Che Awang
Januari 25, 2023 13:22 MYT
Januari 25, 2023 13:22 MYT
ALOR SETAR: Bekalan ayam bagi pasaran di dalam negara tidak terkesan dengan penularan wabak selesema burung yang berlaku di kawasan hemisfera utara terutama melibatkan Eropah dan Amerika Syarikat.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu menegaskan, kementerian akan memantau situasi wabak berkenaan dari semasa ke semasa dan berharap bekalan ayam akan terus berada pada tahap stabil.
"Kita sedang meneliti (isu selsema burung)… masalah berkenaan akan berlaku sentiasa dan pihak kita akan melihat dari semasa ke semasa.
“Buat masa sekarang (bekalan) ayam ini (di dalam negara masih) stabil… pada masa akan datang kita harap (ia) terus stabil,” tegas beliau.
Mohamad berkata demikian ketika ditemui media selepas lawatan kerjanya ke ibu pejabat Ayam Bismi, Simpang Empat Kangkong, di sini, pada Rabu.
Terdahulu, sebuah akhbar tempatan melaporkan Malaysia akan berdepan ancaman keselamatan makanan serius kerana bekalan ayam seluruh negara dijangka menyusut 40 peratus menjelang Jun tahun ini.
Penyusutan berkenaan sekiranya berlaku, bakal menyaksikan bekalan ayam di pasaran berkura¬ngan daripada 2.2 juta ekor sehari, kepada cuma 1.3 juta ekor, iaitu kekurangan sebanyak 900,000 ekor ayam.
Sumber akhbar berkenaan mendakwa, isu itu berlaku kerana penularan wabak selesema burung yang serius di hampir seluruh negara di hemisfera utara terutama di Eropah dan Amerika Syarikat.