Bekalan ayam ada, pelanggan pula kurang
Sinar Harian
Julai 3, 2022 09:29 MYT
Julai 3, 2022 09:29 MYT
KOTA BHARU: Walaupun bekalan ayam di Kelantan mulai pulih, namun peniaga berdepan dengan kekurangan pelanggan yang menurun sehingga 70 peratus berbanding sebelum krisis ayam.
Seorang peniaga, Munsyi Mohamad Nuri, 33, berkata, keadaan jualan merosot berlaku sejak isu kekurangan bekalan ayam yang melanda negara bermula bulan lalu.
“Sekarang ini saya hanya dapat jual ayam sekitar 30 ekor pada setiap hari Sabtu hingga Ahad manakala antara 50 hingga 60 ekor sahaja pada hari Jumaat.
“Jumlah itu berkurangan daripada kebiasaan di mana sebelum ini kami dapat jual 100 ekor atau lebih pada hari Jumaat.
“Keadaan mungkin berlaku apabila orang ramai mula berjimat cermat dalam berbelanja kerana harga barangan yang semakin meningkat,” katanya ketika ditemui di Pasar Tok Guru, Pengkalan Chepa di sini.
Menurutnya, pengurangan hasil jualan harian itu menyebabkan dia terpaksa mencari alternatif lain bagi menghabiskan jualan ayam miliknya.
“Jika menjelang tengah hari bekalan ayam masih banyak, saya akan telefon pemilik-pemilik kedai makan untuk menawarkan ayam kepada mereka bagi menghabiskan jualan,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Mohamad Safuan Mohamad Zain, 34, berkata, jumlah pelanggan berkurangan walaupun bekalan ayam sudah lama pulih sejak tiga minggu lalu.
“Saya mendapatkan bekalan ayam dari Perak dan saiz ayam juga lebih besar berbanding sebelum ini, tetapi pembeli pula berkurangan,” katanya.
Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu lalu mengambil keputusan untuk tidak mengapungkan harga ayam sebaliknya meneruskan subsidi dan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung Malaysia mulai Jumaat lalu. -Sinar Harian