Bekalan air Selangor pulih secara berperingkat mulai 2 petang ini

Astro Awani
Oktober 18, 2020 09:35 MYT
Sebanyak 84 lori tangki air digerakkan Air Selangor ke premis-premis kritikal termasuk hospital dan pusat dialisis serta kawasan perumahan yang terkesan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerja-kerja pembaikan paip air terawat yang pecah di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP 1) telah siap sepenuhnya pada jam 8 pagi ini.
Susulan itu, loji rawatan air tersebut telah memulakan operasi secara maksimum bagi memulihkan sistem utama bekalan air.
Mulai jam 2 petang hari ini, bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat ke 686 kawasan di Wilayah Petaling, Gombak, Klang/Shah Alam, Kuala Lumpur dan Hulu Selangor.
Kawasan-kawasan tersebut mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 9 malam semalam apabila kerja-kerja pembaikan dijalankan.
Dalam masa sama, Air Selangor juga telah meningkatkan penyaluran air terawat daripada beberapa LRA lain buat sementara termasuk LRA Sungai Selangor Fasa 3, LRA Wangsa Maju, LRA Sungai Batu dan LRA Bukit Nenas.
Sebanyak 84 lori tangki air digerakkan Air Selangor ke premis-premis kritikal termasuk hospital dan pusat dialisis serta kawasan perumahan yang terkesan.
Pengguna juga boleh mendapatkan bantuan bekalan air melalui pili-pili awam yang disediakan ketika pemulihan air masih dijalankan.
#Air Selangor #Selangor #air #bekalan air #gangguan air #krisis air #Gombak #Petaling #Klang #shah alam #Kuala Lumpur #Hulu Selangor #paip pecah #Bekalan Air Pulih #air terawat #LRA #LRA SSP 1 #LRA Sungai Selangor #pili awam #lori tangki #kerja pembaikan
;