Bekalan air Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya, Kuala Langat pulih sepenuhnya

Astro Awani
Disember 17, 2021 05:44 MYT
Air Selangor mengucapkan terima kasih kepada para pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kesemua 463 kawasan di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat yang terjejas akibat gangguan bekalan air tidak berjadual telah menerima bekalan air bersih sepenuhnya pada jam 11 malam tadi.
Terdahulu, gangguan bekalan terjadi disebabkan oleh henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih pada Rabu, susulan insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dalam satu kenyataan mengucapkan terima kasih kepada para pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual tersebut.
Pengguna disaran mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air menerusi semua medium komunikasi rasmi Air Selangor iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.
Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor.
#bekalan air #gangguan bekalan air tidak berjadual #Air Selangor
;