Bekalan air jadi masin: Kerosakan sistem kawalan pintu di Sungai Segaliud dibaiki
Bernama
Mei 15, 2023 23:59 MYT
Mei 15, 2023 23:59 MYT
SANDAKAN: Sistem kawalan pintu air di Sungai Segaliud yang rosak beberapa bulan lepas sehingga menyebabkan bekalan air di Sandakan berasa masin, telah dibaiki dan kerja mengepam air dari sungai itu ke Empangan Segaliud berjaya dimulakan sejak 10 hari lepas (5 Mei).
Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya berkata selain usaha pembaikan itu, pihak pengendali loji air Segaliud itu juga menambah dua unit pam, menjadikan tiga unit sekarang untuk mengepam air sungai berkenaan ke empangan itu.
"Ini bagi memastikan paras (air) empangan meningkat dan dapat dirawat untuk bekalan air bersih di daerah ini. (Paras air) empangan telah pun naik hampir setengah meter dan saya berharap kerja-kerja pengepaman ini dapat diteruskan.
Ditambah lagi dengan keadaan cuaca (hujan) yang membantu dan semoga dengan kenaikan paras air di empangan Segaliud ini nanti akan dapat mencairkan klorida yang menimbulkan rasa masin kepada air yang kita hasilkan," katanya kepada pemberita selepas meninjau empangan itu dekat sini hari ini.
Shahelmey, yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, berkata sejak kunci sungai dan pintu kawalan air sungai itu dibaiki pada Mac lepas, bacaan makmal juga menunjukkan kadar kemasinan air semakin menurun, namun belum mencapai bacaan di bawah 250 bahagian per juta (parts per million) dan dengan kerja pengepaman berterusan itu dijangka dapat mengatasi isu air masin yang sedang melanda Sandakan.
Pada masa sama, beliau berkata kementeriannya sudah menerima cadangan jangka panjang daripada Jabatan Air Negeri Sabah supaya kejadian yang menyebabkan bekalan air masin di Sandakan tidak berulang.
"Saya tidak menyalahkan para nelayan (merosakkan kunci dan pintu kawalan air sungai), tetapi isu yang kita hadapi sekarang sebenarnya disumbangkan oleh pelbagai faktor. Tiada guna mengasingkan atau menuding jari terhadap mereka yang menyumbang kepada isu ini, masalah ini.
Apa kita fahami ialah kita fahamkan masalah yang kita hadapi dan kita mencari penyelesaian untuk mengatasi masalah ini," katanya.
Shahelmey juga berpuas hati dengan kadar pengepaman air masuk ke empangan melebihi kadar air yang keluar empangan.
"Jadi, kita gunakan (simpanan air) dalam bulan Mei hingga awal Jun, lebihan ini akan dapat berterusan dan itu akan jadi satu penampan untuk simpan air bagi ketibaan fenomena El Nino.
Patut menjadi lebihan selamat, tetapi bergantung kepada cuaca ...tetapi sekiranya kedatangan El Nino nanti, mungkin kaedah itu (catuan air) diguna pakai untuk pastikan semua kawasan dapat bekalan air," katanya.
Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri III itu meninjau Jalan Persekutuan yang rosak di laluan Kinabatangan-Lahad Datu, dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan pihak konsesi yang bertanggungjawab menyelenggara Jalan Persekutuan itu telah diarah untuk membuat kerja penyelenggaraan kecemasan.
"Saya juga menyeru Kementerian Kerja Raya supaya dapat meningkatkan penyaluran peruntukan Persekutuan untuk kerja penyelenggaraan jajaran jalan tersebut. Jalan tersebut termasuk dalam pakej kerja menaik taraf di bawah Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan kita menjangkakan ianya akan dapat mula dilaksanakan sebelum hujung tahun ini.
Jadi, sementara menanti pelaksanaan Pan Borneo, kita harus memastikan jalan raya tersebut berada dalam keadaan selamat untuk pengguna jalan raya," katanya.
-- BERNAMA