Bekalan air dijangka pulih pagi esok - Syabas

Bernama
Oktober 12, 2014 16:14 MYT
SYABAS: Beliau berkata proses pemulihan bekalan tidak dapat dipercepatkan memandangkan ketiadaan sumber bekalan air alternatif.
Bekalan air di beberapa kawasan di Lembah Klang yang terjejas akibat pencemaran air mentah di Sungai Selangor, dijangka pulih 8 pagi esok.
Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas Priscilla Alfred Dharan berkata bagaimanapun, pemulihan bekalan bagi pengguna di kawasan tinggi dan di penghujung sistem agihan akan berlaku secara berperingkat dalam tempoh tiga hari.
Beliau berkata proses pemulihan bekalan tidak dapat dipercepatkan memandangkan ketiadaan sumber bekalan air alternatif di samping rezab simpanan air yang kecil.
Bagaimanapun, katanya, bagi mengurangkan kesulitan pengguna, bekalan air melalui lori tangki telah digerakkan bagi mengagihkan bekalan air kecemasan.
"Keutamaan akan diberi kepada pengguna kritikal seperti hospital dan pusat dialisis. Pengguna diminta menggunakan bekalan air kecemasan sebaik mungkin dan untuk keperluan yang utama sahaja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini dilapor beberapa loji rawatan air (LRA) ditutup sejak 8 malam semalam berikutan berlakunya pencemaran air mentah di Sungai Selangor akibat tumpahan cecair hidrolik.
Priscilla berkata penutupan selama 12 jam ke empat LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang yang membekalkan sekitar 60 peratus keperluan bekalan air terawat di Lembah Klang itu, telah mengurangkan bekalan air ke kawasan yang terjejas.
Beliau berkata penutupan itu sekali gus menyebabkan beberapa kawasan di Wilayah Gombak, Klang, Shah Alam, Petaling, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Kuala Selangor mengalami terputus bekalan dan tekanan rendah tidak berjadual.
Menurutnya, Syabas telah dimaklumkan bahawa Lembaga Urus Air Selangor akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam pencemaran ini.
#air #priscilla alfred #SYABAS
;