Bekalan air di Wilayah Hulu Selangor pulih sepenuhnya
Astro Awani
Januari 4, 2021 07:45 MYT
Januari 4, 2021 07:45 MYT
KUALA LUMPUR: Semua lapan kawasan yang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual di Wilayah Hulu Selangor sejak Ahad kini pulih sepenuhnya pada jam 6 pagi tadi.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan pagi ini.
"Air Selangor ingin mengucapkan terima kasih kepada para pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini," katanya.
Loji Rawatan Air (LRA) Sg Selisek dihenti tugas pada 5.40 petang 3 Jan lalu, apabila air naik ke paras kritikal di muka sauk akibat hujan berterusan dan banjir.
Susulan itu, lapan kawasan mengalami gangguan bekalan air iaitu Kampung Sungai Nilam/Kampung Seri Pagi, Kampung Lalang, Rumah Murah PKT 2 Sungai Selisek, Kampung Serigala, Kampung Orang Asli, Kampung Bahom, Kampung Sekolah/Kuarters Klinik dan Kampung Gesir Tengah.
Air Selangor menyarankan pengguna mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air menerusi semua medium komunikasi rasmi pihaknya iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com.
#Hulu Selangor
#banjir
#bekalan air
#loji rawatan air
#Air Selangor
#henti tugas
#LRA
#LRA Sg Selisek