Bekalan air di Kuala Lumpur, Petaling, Hulu Langat pulih 57%

Astro Awani
Januari 9, 2021 09:17 MYT
Sehingga jam 7 pagi peratusan pemulihan bekalan air di Hulu Langat adalah pada tahap 90%. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Bekalan air di Kuala Lumpur, Petaling dan Hulu Langat telah pulih pada tahap 57%.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan bekalan air telah mula disalurkan kepada para pengguna bermula jam 2 pagi ini.
Sehingga jam 7 pagi peratusan pemulihan bekalan air di Hulu Langat adalah pada tahap 90%, di Petaling 70% manakala di Kuala Lumpur 10%.
Tambah kenyataan itu lagi, Air Selangor kini sedang berusaha untuk menstabilkan sistem agihan bagi memastikan para pengguna mendapat bekalan air dengan segera terutama dalam situasi pandemik COVID-19.
Selain itu bekalan air di ketiga-tiga kawasan tersebut dijangka pulih sepenuhnya pada jam 6 petang ini.
Pengguna di 121 kawasan sekitar Kuala Lumpur, Petaling dan Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula Jumaat akibat kejadian paip pecah di Jalan Sering, Taman Sungai Sering di Cheras.
Menurut Air Selangor paip pecah itu berpunca daripada kerja-kerja pemasangan paip pembentungan oleh pihak ketiga.
#bekalan air #Kuala Lumpur #Petaling #Hulu Langat #Air Selangor #gangguan bekalan air tidak berjadual #paip pecah
;