Bekalan air di Kuala Lumpur, Gombak belum pulih sepenuhnya

Astro Awani
April 6, 2021 07:51 MYT
Air Selangor masih dalam proses menstabilkan sistem agihan bekalan air setakat jam 6 pagi hari ini susulan pemulihan gangguan bekalan air berjadual yang berlaku di Wilayah Kuala Lumpur dan Gombak. -Gambar fail.
KUALA LUMPUR: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) masih dalam proses menstabilkan sistem agihan bekalan air setakat jam 6 pagi hari ini di wilayah Kuala Lumpur dan Gombak.
Ketua Komunikasi Korporat Air Air Selangor, Elina Baseri berkata, setakat ini, masih tiada kawasan yang pulih sepenuhnya.
Gangguan bekalan air itu berikutan kerja-kerja penggantian injap di jajaran paip air mentah dari Empangan Klang Gates yang menyebabkan henti tugas sementara Loji Rawatan Air Bukit Nanas dan Wangsa Maju pada 6 April 2021.
"Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Air Selangor akan memaklumkan status pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas dari semasa ke semasa melalui semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor termasuk laman web www.airselangor.com, aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter, atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.
#Kuala Lumpur #Gombak #bekalan air #gangguan #Air Selangor #loji rawatan air #bukit nanas #Wangsa Maju
;