Bekalan air di Klang, Shah Alam pulih 25.5 peratus

Bernama
Mac 25, 2023 17:45 MYT
Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada pukul 6 pagi esok, namun berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung pada lokasi dan jarak premis pengguna. - Gambar Astro AWANI
SHAH ALAM: Status pemulihan bekalan air di 55 kawasan di sekitar wilayah Shah Alam dan Klang yang terjejas susulan kerja-kerja pembaikan paip pecah di Taman Mutiara Bukit Raja 2, Klang mencapai 25.5 peratus setakat 3 petang tadi.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat ke premis pengguna setelah sistem bekalan air distabilkan.
Menurutnya, bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada pukul 6 pagi esok, namun berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung pada lokasi dan jarak premis pengguna.
"Air Selangor ingin menyarankan para pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.
"Air Selangor berharap agar para pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan," menurut Air Selangor menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Air Selangor semalam memaklumkan sebanyak 55 kawasan di wilayah Klang dan Shah Alam mengalami gangguan bekalan air bermula pukul 10 malam ekoran pelaksanaan kerja-kerja pembaikan paip pecah di Taman Mutiara Bukit Raja 2, Klang.
-- BERNAMA
#Facebook #Air Selangor #paip pecah #pengguna
;