Bekalan air di 259 kawasan pulih sepenuhnya - Air Selangor
Bernama
Oktober 8, 2020 17:18 MYT
Oktober 8, 2020 17:18 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak 259 daripada 274 kawasan yang terjejas akibat gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi, menerima bekalan air sepenuhnya dengan tahap peratusan pemulihan 95 peratus setakat 12 tengah hari ini.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri memaklumkan sebanyak 15 kawasan masih dalam proses pemulihan iaitu di Wilayah Petaling, Hulu Langat dan Kuala Langat.
"Peratusan pemulihan mengikut wilayah iaitu di Petaling mencatat 90 peratus, Hulu Langat 95 peratus, Kuala Langat 86 peratus manakala Sepang dan Putrajaya 100 peratus.
"Air Selangor sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan-kawasan yang masih terjejas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Air Selangor menyarankan pengguna mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air melalui saluran komunikasi rasmi dengan merujuk aplikasi Air Selangor, media sosial Air Selangor di Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.
Sejumlah 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang/Putrajaya mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak Ahad, apabila LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas akibat pencemaran sumber air mentah.
-- BERNAMA
#gangguan bekalan air
#Air Selangor
#Sungai Semenyih
#loji rawatan air
#Bukit Tampoi
#pulih sepenuhnya
#Elina Baseri
#Petaling
#Hulu Langat
#Kuala Langat
#Sepang
#Putrajaya