Bekalan air bersih tiada, penduduk guna air banjir untuk keperluan harian
Hafizi Rosli
Disember 25, 2022 20:45 MYT
Disember 25, 2022 20:45 MYT
PASIR MAS: Isu bekalan air bersih di Kelantan terus membelenggu masyarakat di negeri itu terutama ketika musim banjir kali ini.
Nasib penduduk di Kampung Kolam, Gelang Mas di sini, diibaratkan seperti ‘sudah jatuh ditimpa tangga’, apabila menyaksikan rumah dan harta benda rosak, ditambah pula dengan ketiadaan bekalan air bersih pada fasa pascabanjir ini.
Mereka terpaksa menggunakan menggunakan air banjir yang kotor untuk aktiviti seharian termasuk mencuci kotoran akibat banjir.
Bagi seorang penduduk, Siti Aminah Teh, mereka tiada pilihan selain menggunakan air banjir untuk membersihkan segala kesan akibat bah.
“Macam kami ini tiada pilihan, terpaksa mandi, basuh menggunakan air banjir, tapi minum tu kita beli air bersihlah, air mineral.
“Nak buat macam mana, air pair memang tak ada. Sudah lebih dua tahun tiada bekalan air,” katanya.
Jelasnya sebelum ini terdapat bekalan air bersih melalui tangki air yang disediakan oleh pihak pengurusan air negeri sebagai alternatif isu air bersih daripada sistem perpaipan.
Mereka turut bergantung kepada air telaga, namun akibat banjir, telaga tidak dapat digunakan kerana ia ditenggelami air.
Seorang lagi penduduk lagi iaitu Nurul Farahani Mardiana, memaklumkan soal kualiti air banjir itu terpaksa diketepikan demi kelangsungan hidup.
“Air banjir ini kan kita tahu bukannya bersih sangat, tapi apa boleh buat, ini sahaja pilihan yang kami ada.
“Air keruh inilah kami gunakan untuk mencuci rumah, pakaian dan mandi,” katanya.
Bagi penduduk, mereka mahu dua isu utama diselesaikan segera iaitu usaha mitigasi banjir bagi mengelak lebih banyak kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa, serta sambungan bekalan air bersih seperti yang sepatutnya dinikmati semua rakyat Malaysia.