Bekalan air bersih pulih sepenuhnya secara berperingkat
Khairunnisa Kasnoon
Oktober 6, 2020 00:01 MYT
Oktober 6, 2020 00:01 MYT
KUALA LUMPUR : Bekalan air bersih dari Kolam Imbangan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih telah lulus ujian kualiti serta pematuhan standard dan gangguan bekalan air di kawasan terjejas akan pulih secara berperingkat.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan pemulihan sepenuhnya dibahagikan kepada tiga kumpulan utama.
Pengguna kumpulan pertama yang merangkumi 145 kawasan akan mula mendapat bekalan air seawal jam 12 tengah malam 7 Oktober sehingga 6 petang hari yang sama.
Senarai kawasan dan jadual pemulihan bekalan air boleh dirujuk di www.airselangor.com atau aplikasi Air Selangor.
Pengguna disarankan untuk membiarkan air pili mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.
Air Selangor berharap para pengguna yang mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan.
Dalam pada itu, bantuan bekalan air alternatif di pili-pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) masih lagi disediakan untuk kemudahan para pengguna yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual ini.