Bekal senjata api warga Israel: Suami isteri tidak dibenar ikat jamin

Sinar Harian
Julai 25, 2024 08:26 MYT
Abdul Azim diringi polis dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Selangor di sini pada pada Khamis.
KUALA SELANGOR: Mahkamah Sesyen di sini, menolak permohonan ikat jamin terhadap pasangan suami isteri yang disyaki membekalkan senjata api kepada lelaki warga Israel pada Mac lalu.
Keputusan itu diputuskan, Hakim Ahmad Faizadh Yahaya selepas meneliti hujah pihak pendakwaan dan pembelaan kedua-dua tertuduh, Sharifah Faraha Syed Husin, 41, dan Abdul Azim Mohd Yasin, 43.
Menurut Ahmad Faizadh, mahkamah membuat ketetapan selepas merujuk kepada prinsip Mahkamah Persekutuan dan Tinggi berkaitan dua kes yang melibatkan Akta Senjata Api sebelum ini.
"Selain itu, tiada sebarang keadaan istimewa dikemukakan bagi permohonan jaminan berkenaan dan oleh itu mahkamah menolaknya," katanya dalam prosiding sebutan semula kes itu pada Khamis.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim dalam hujahnya memaklumkan kesalahan tertuduh merupakan kesalahan tidak boleh jamin.
"Ia bagi mengelakkan tertuduh melakukan kesalahan lebih berat ketika proses perbicaraan kes masih dijalankan dan turut dikhuatiri mengganggu saksi pendakwaan.
"Selain itu, tertuduh tidak menyatakan sebarang alasan atau keadaan istimewa bagi kebenaran permohonan ikat jamin," katanya.
Bagaimanapun, peguam Mohamad Isa Mohamad Basir yang mewakili Sharifah Faraha berkata, mahkamah mempunyai kuasa dan budi bicara membenarkan jaminan itu.
Ujar beliau, sekiranya kebenaran ikat jamin itu diberikan, anak guamnya bersedia mematuhi semua syarat-syarat tambahan.
"Antara syarat dipatuhi anak guamannya termasuk melaporkan diri di balai polis pada setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah," jelas beliau.
Sebutan semula kes bagi serahan dokumen ditetapkan pada 29 Ogos depan.
Terdahulu, kedua-dua tertuduh tiba di mahkamah itu secara berasingan dengan menaiki kenderaan polis masing-masing pada jam 9.15 dan 9.30 pagi.
Pada 30 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan, dua suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di bazar Ramadan di Kuala Selangor pada jam 7.15 malam bagi membantu siasatan kes membeli senjata api di Thailand sebelum menjualnya kepada lelaki warga Israel.
Polis turut menemukan satu pistol di beg galas dalam kereta Honda Jazz di kediaman mereka yang terletak di Kuala Selangor.
Polis sebelum ini turut menahan seorang lelaki tempatan di Cameron Highlands, Pahang yang dipercayai pemandu kepada lelaki Israel terbabit sejak memasuki negara ini pada 12 Mac lalu.
Lelaki warga Israel itu didakwa menggunakan pasport negara Perancis untuk masuk ke ibu negara.
Bagaimanapun, ia terbongkar selepas ditahan di sebuah hotel dekat Jalan Ampang dan hasil pemeriksaan ke atas suspek berumur 36 tahun yang masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu turut menemukan enam senjata api bersama 200 peluru. - Sinar Harian
#lelaki Israel #bekal senjata api #rakyat Malaysia #kes mahkamah