Behavioural Insight diaplikasi dalam polisi kerajaan, RMK12 - KSN

Harits Asyraf Hasnan
Mac 23, 2021 11:58 MYT
Mohd Zuki berkata mengintegrasikan BI ke dalam pembuatan dasar membolehkan pembuat dasar dan pengawal selia menjangkakan impak tingkah laku polisi. - Foto Twitter/Mohd Zuki Ali
KUALA LUMPUR: Behavioural Insight (BI) bakal diterapkan dalam pelaksanaan polisi kerajaan, termasuk dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Langkah mengintegrasikan BI ke dalam pembuatan dasar, menurut Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, akan membolehkan pembuat dasar dan pengawal selia menjangkakan impak tingkah laku polisi.
Ia sekali gus mewujudkan peraturan dan undang-undang yang lebih berkesan serta berkualiti dan pada masa sama meningkatkan kesejahteraan orang ramai.
"Banyak perkara yang perlu dilakukan dan banyak faktor yang mempengaruhi pelaksanaannya.
"Saya menggesa Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) meningkatkan lagi usaha dalam perkara ini.
"Saya juga meminta pembuat dasar dan pengawal selia termasuk sektor awam dan swasta untuk terlibat dalam projek ini, ia atas satu matlamat - demi kesejahteraan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Kebangsaan mengenai Behavioural Insights (BI) yang bertemakan 'Memacu Penyampaian Dasar Awam yang Cekap' anjuran MPC secara maya hari ini.
Mohd Zuki pada masa sama menggesa penjawat awam untuk menyertai latihan dan pembinaan kapasiti BI menerusi MyLatihan Maya untuk memastikan ia dapat diterapkan dalam polisi yang dilaksanakan.
Kaedah BI adalah usaha mendekati penggubalan dasar awam dengan memahami tingkah laku manusia dalam merangka intervensi dasar.
MPC telah menggerakkan inisiatif untuk mengaplikasikan kaedah BI dalam penggubalan dasar awam sejak tahun 2020.
#penjawat awam #Behavioural Insight #ketua setiausaha negara #KSN #Rancangan Malaysia Ke-12 #RMK12 #Perbadanan Produktiviti Malaysia #MPC #Mohd Zuki Ali #undang-undang #rakyat #kerajaan #tingkah laku manusia #latihan
;