Begini cara menunaikan umrah ketika ini
Israr Khalid
Mac 4, 2021 23:08 MYT
Mac 4, 2021 23:08 MYT
KUALA LUMPUR: Bagaimana caranya untuk umat Islam menunaikan ibadah umrah di Masjidil Haram pada ketika zaman dunia masih dilanda pandemik COVID-19 ini, khususnya buat jemaah Malaysia?
Sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel & Services Sdn Bhd, Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali telah berkongsi antara perjalanannya dari tanah air sehingga sampai ke Arab Saudi, dan perlu menjalani kuarantin selama tiga hari.
Terbaharu, beliau berkongsikan perjalanan proses menunaikan ibadah umrah di bawah SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi. Begini aturannya:
1. Sebelum masuk ke Masjidil Haram, perlu kenal pasti waktu yang diluluskan sama ada (rujuk kepada syarikat operator).
2. Bila sudah pasti, siap sedia untuk lapor diri di pintu masuk yang ditetapkan lebih kurang satu jam sebelum waktu masuk.
3. Dari pintu masuk, kumpulan jemaah akan dipandu oleh mutawif daripada pihak Masjidil Haram. Dia akan memberitahu di mana tempat yang dibenarkan untuk mendirikan solat, memulakan tawaf dan sa'i dan sebagainya.
4. Sepertimana yang digariskan, pakai pelitup muka sepanjang masa, jaga penjarakan fizikal, dan bawa sejadah sendiri.
5. Selesai ibadah tawaf, sa'i dan tahaluf di Marwah, mutawif akan pandu jemaah sehingga ke pintu untuk keluar dan terus pulang ke hotel masing-masing.
Maka selesailah ibadah umrah yang pertama. Namun, menjadi kebiasaan orang kita untuk menunaikan ibadah itu beberapa kali. Boleh atau tidak?
Kata Ahmad Ruzman, untuk kali seterusnya itu perlu untuk membuat permohonan baharu. Andai ada kelapangan dan ruang, baru permohonan itu diluluskan. Dan prosesnya sama, periksa dengan syarikat operator bila waktu dan di mana pintu masuknya. Sebelum itu, syarikat operator akan mengaturkan perjalanan untuk berniat ihram di miqat.
Cuma maklum beliau, bezanya kali ini adalah jemaah tidak dibenarkan untuk turun daripada kenderaan seperti kebiasaan dahulu. Sampai di miqat, hanya perlu berniat ihram dari dalam kenderaan dan kembali ke Masjidil Haram untuk meneruskan ibadah umrah.
Bagaimana pula prosesnya untuk menunaikan solat fardu?
Maklum Ahmad Ruzman, ia memerlukan permit untuk solat fardu di dalam Masjidil Haram. Menggunakan sistem yang sama, individu perlu memohon kebenaran masuk dan kemudian akan dimaklumkan butiran seterusnya andai permohonan diterima dan dibenarkan.
Jika tiada rezeki, boleh sahaja tunaikan solat di dataran marmar luas di luar perkarangan Masjidil Haram itu, asal mengikut SOP yang digariskan.
Berbeza dengan di Masjid Nabawi di Madinah, jemaah boleh masuk dan menunaikan solat di dalamnya tanpa permit.
Bagaimana mengerjakan ibadah umrah ketika ini?
#Tabung Haji
#TH
#umrah
#Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali
#ibadah
#Mekah
#Madinah
#tawaf
#SOP
#COVID-19