Beg sekolah berat: 'Saya tak senyap, saya kaji penyelesaian dahulu' - Radzi Jidin
Firdaus Azil
Mac 7, 2022 18:10 MYT
Mac 7, 2022 18:10 MYT
JOHOR BAHRU: Langkah penyelesaian isu beg sekolah berat memerlukan kajian terperinci bagi setiap punca mengapa ia tidak dapat diselesaikan selama ini, kata Datuk Mohd Radzi Jidin.
Menteri Kanan Pendidikan itu berkata, beliau sedar ramai yang mempersoalkan tindakannya yang dikatakan seolah-olah ‘senyap’, dan tidak mengambil berat tentang permasalahan yang berlarutan sejak berpuluh tahun lamanya itu.
Namun, Mohd Radzi berkata, selepas dilakukan kajian satu demi satu, akhirnya penyelesaian dapat dicapai, terutamanya melalui tujuh strategi Kementerian Pendidikan (KPM) semalam.
“Ramai kata Menteri Pendidikan tak cakap apa … senyap sahaja. Bila kita lihat sesuatu masalah itu, kita tak boleh buat keputusan secara terus. Perlu dicari apa puncanya, mengapa tak boleh diselesaikan (selama ini).
“Kita kaji satu-persatu. Sebab itu bila di luar sana ramai yang tanya, saya ambil pendekatan untuk diam dahulu, tapi bila mana penyelesaian secara menyeluruh dapat dicapai, jadi semalam kita umumkan ada tujuh pendekatan,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada media dalam majlis Sesi Penerangan Ikrar Perikatan Nasional (PN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Semalam Mohd Radzi mengumumkan pelaksanaan lokar di sekolah rendah secara berfasa mulai tahun ini sebagai pendekatan menangani isu beg berat murid.
Di samping itu, beliau berkata, KPM juga akan memberi kelonggaran kepada sekolah untuk menyediakan jadual waktu mengikut kitaran minggu sebagaimana yang sedang dilaksanakan oleh sebilangan sekolah di bawah KPM.
Selain itu, bilangan buku latihan pula hendaklah tidak melebihi dua buku bagi setiap mata pelajaran pada satu-satu masa dan setiap buku latihan tidak melebihi 80 muka surat.
Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, KPM juga akan mewujudkan satu pasukan petugas khas bagi memantau pelaksanaan ketujuh-tujuh strategi berkenaan.
“Kalau kita sembang saja masalah tak selesai. Ini jadi satu budaya baru dalam sektor pendidikan kita, jadi pemantauan dibuat supaya segala perancangan ini dapat dilaksanakan dengan baik.
“Kita juga memohon jasa baik ibu bapa, tolong periksa beg anak-anak ini. Kadang-kadang anak-anak membawa semua, setiap hari bawa semua. Pendekatan apa pun tak akan berjaya kalau dia bawa juga semua. Insya-Allah perkara berkaitan beg berat ini kita dapat sama-sama selesaikan,” katanya lagi.